SJKC Puay Chai 2 Bandar Utama ditutup, enam pelajar positif COVID-19
Fareez Azman
April 13, 2021 14:38 MYT
April 13, 2021 14:38 MYT
Sebelum ini, enam pelajar disahkan positif COVID-19 manakala 11 guru diperintahkan menjalani kuarantin. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)(C) Puay Chai 2 di Bandar Utama, Petaling Jaya diarahkan ditutup sementara berkuatkuasa hari ini selepas enam pelajarnya disahkan positif COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Jaya pada Selasa. Bagaimanapun tempoh penutupan operasi sekolah terbabit akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Sebelum ini, enam pelajar disahkan positif COVID-19 manakala 11 guru diperintahkan menjalani kuarantin.
Lima bilik darjah ditutup sebelum ini susulan penularan wabak itu sejak minggu lalu.
Kes pertama dilaporkan pada 7 April lalu, sebelum kes kedua pada 9 April. Pada 11 April, dua lagi pelajar disahkan positif COVID-19.
Kesemua pelajar yang dijangkiti COVID-19 adalah pelajar tingkatan dua, empat dan lima.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan sebarang perkembangan lanjut dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung situasi di sekolah itu.
#Astro Awani
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Petaling Jaya
#Kementerian Pendidikan
#Malaysia
#operasi
#COVID-19
#sekolah
#pelajar
#pendidikan
#kesihatan
#guru
#Cuba