Sivarasa, kamu telah melampaui batas! - Sultan Selangor

Bernama
Jun 2, 2017 21:33 MYT
Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik. - Gamnbar fail
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa yang telah berucap dalam dewan solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang dekat sini, baru-baru ini.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang bukan beragama Islam.
"Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap dalam masjid adalah kerana beta tidak mahu ianya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.
"Namun, teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan, anggota Parlimen Subang Sivarasa, "you have crossed the line!" (kamu telah melampaui batas), titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, di sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak menghalang jika anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu hendak berucap di luar kawasan masjid, dan ia terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar atau sebaliknya, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid mahupun dalam kawasannya.
"Nazir masjid, imam dan anggota jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah beta dengan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.
"Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak," titah baginda.
Titah Sultan Selangor lagi, baginda memberi kuasa kepada nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid.
"Maka, gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya. Jikalau ada di antara nazir, imam atau anggota jawatankuasa masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau anggota jawatankuasa masjid dan serahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.
"Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan JAIS supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," tegas baginda.
Berhubung kes di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang tersebut, titah Sultan Sharafuddin, baginda mahu supaya JAIS menyiasat perkara itu dengan terperinci dan sekiranya didapati ada bukti yang anggota jawatankuasa masjid melanggar peraturan sedia ada, tindakan selanjutnya perlu diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadan.
Sivarasa sebelum ini menafikan ada memberi ceramah politik ketika menghadiri program di masjid berkenaan, sebaliknya anggota Parlimen itu menjelaskan bahawa beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membantu institusi masjid dan surau di negeri itu.
Sultan Selangor dalam pada itu mahu orang Melayu memikirkan sedalam-dalamnya untuk bersatu-padu mempertahankan agama Islam dan kedudukan orang Melayu di tanah air ini.
"Janganlah saling fitnah-memfitnah dan mengadu-domba antara satu sama lain, terutamanya di musim menjelang pilihan raya umum yang akan tiba tidak lama lagi. Sesungguhnya bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk kita melakukan ibadat dan kebaikan bagi memperoleh keberkatan daripada Allah," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat Selangor supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati dan peka terhadap kemunculan gejala tidak sihat yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab di negeri itu.
Titah baginda, penyebaran ajaran sesat dan fahaman yang jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam sebenar akan mengelirukan rakyat dan boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung.
"Beta difahamkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, terdapat 15 kumpulan ajaran agama sesat yang masih aktif di Selangor yang perlu diambil tindakan dengan serius oleh Majlis Agama Islam Selangor dan JAIS.
"Beta menitahkan supaya imam-imam, anggota jawatankuasa masjid serta masyarakat hendaklah juga bertanggungjawab melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya mendapati ada aktiviti dan ajaran yang meragukan di tempat mereka. Janganlah hanya mengharapkan pihak JAIS sahaja untuk membendung ajaran sesat ini.
"Beta juga berkenan supaya golongan imam, anggota-anggota jawatankuasa masjid serta ahli-ahli ilmuwan agama Islam supaya terus memberikan pendidikan sewajarnya kepada rakyat terutama golongan muda tentang ajaran Islam sebenarnya serta kepentingan memelihara ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah," titah baginda.
Ini, menurut Sultan Sharafuddin, untuk memastikan umat Islam di Selangor tidak terjerumus ke lembah kesesatan atau terlibat dengan keganasan yang ekstremis seperti ISIS dan Daesh.
-- BERNAMA
#Islam #kerajaan #Parlimen #Ramadan #Sivarasa #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;