Sivakumar nafi terlibat dengan penemuan RM94 juta

Sinar Harian
November 5, 2024 17:25 MYT
Sivakumar (tengah) ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menafikan beliau terlibat dengan penemuan RM94 juta seperti didakwa seorang ahli Parlimen pembangkang.
Tegas Ahli Parlimen Batu Gajah itu, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah satu serangan politik bersifat fitnah untuk mencemar reputasi dan integritinya dan parti yang diwakili.
Beliau dalam masa sama turut mengakui kesal dengan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, meskipun namanya tidak disebut dengan jelas.
“Saya amat tersinggung dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pendang, walaupun tidak tahu siapa yang dirujuk tapi melihat kepada fakta ia ditunding kepada saya.
“Jadi, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan berkaitan isu ini. Saya tidak tahu dari mana sumber mendorong beliau menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jumpa wang RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri DAP.
“Saya turut menghargai tindakan segera SPRM dalam menjernihkan situasi dan saya amat hargainya,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Selasa.
Awang pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas Menteri Sumber Manusia daripada DAP.
Ahli politik Pas itu mempersoal siasatan kes berkenaan oleh SPRM kerana sudah lebih setahun ia dibangkitkan.
Susulan itu juga, SPRM tampil menjelaskan bahawa dakwaan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki pernah mengeluarkan kenyataan bahawa RM94 juta ditemui di kediaman bekas menteri adalah tidak tepat.
SPRM memaklumkan, Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya terbabit mahupun SPRM tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut seperti dinyatakan Awang.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, Awang dicabar untuk mengulangi kenyataannya di luar Dewan Rakyat.
“Jika benar beliau memiliki bukti yang sah, beliau seharusnya menyatakan tuduhan ini diluar dewan dan berani menyebut nama individu dikaitkan,”katanya.
Beliau menambah, pemimpin DAP termasuk dirinya akan terus berkhidmat secara telus dan menyokong penuh usaha SPRM dalam memerangi rasuah serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. - Sinar Harian
#V Sivakumar #SPRM #RM94 juta #Menteri Sumber Manusia
;