Sivakumar dipanggil ke SPRM

Sinar Harian
April 16, 2023 13:20 MYT
V Sivakumar disahkan telah hadir ke pejabat SPRM pada Ahad. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar disahkan telah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Ahad, bagi melengkapkan siasatan yang dilakukan agensi itu selepas menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut pada minggu lalu.
Sumber berkata, Sivakumar dipercayai hadir ke pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi tadi.
"Beliau hadir bagi membantu melengkapkan siasatan yang dilakukan SPRM selepas menahan tiga individu termasuk dua pegawainya pada minggu lalu," katanya ringkas.
Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.
Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.
Sebelum ini media melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai 'runner' bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan SPRM berhubung dakwaan tersebut. -Sinar Harian
#SPRM #V Sivakumar #kuota pengambilan pekerja asing #Setiausaha Sulit menteri ditahan
;