'Situasi sangat buruk, tiada tempat selamat di Gaza'
Sinar Harian
Oktober 14, 2023 09:30 MYT
Oktober 14, 2023 09:30 MYT
MARANG: Seorang warga Palestin mendedahkan tindakan rejim Israel memusnahkan kediaman menyebabkan ahli keluarganya di Gaza terpaksa berpindah ke tempat lain untuk mencari perlindungan.
Bilal Ahmad, 30, yang kini menetap di Malaysia sejak tiga tahun lalu menyatakan Gaza dijadikan 'penjara' terbesar di dunia apabila dikepung selain terputus dengan sebarang bantuan ubat dan keperluan asas seperti makanan.
Menurut Bilal, ahli keluarganya di Gaza memberitahu Israel juga bertindak kejam dengan memutuskan bekalan elektrik dan air sehingga menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan terutama golongan sakit, warga emas, kanak-kanak dan wanita.
"Kali terakhir saya bercakap dengan adik-beradik yang berada di Gaza dua hari lepas menerusi panggilan telefon. Mereka beritahu rumah keluarga kami musnah dibom dan terpaksa berpindah ke tempat lain yang lebih selamat.
"Situasi di Gaza sekarang sangat memburuk.
"Tiada tempat yang selamat di Gaza kerana Israel menyasarkan untuk memusnahkan kediaman penduduk.
"Kalau boleh mereka nak 'lenyapkan' warga Palestin di muka bumi ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran kutipan dana #Aid4Palestine 2.0 di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Bilal berkata, dia tidak mengetahui sama ada ahli keluarganya masih hidup atau terkorban dalam peperangan tersebut.
"Saya masih mempunyai ibu, adik-beradik, anak saudara serta saudara-mara di Gaza dan tidak boleh hubungi mereka menerusi panggilan telefon atau sambungan Internet buat masa ini.
"Saya tidak tahu macam mana keadaan mereka dan di mana mereka berada sekarang.
"Adakah mereka masih hidup?
"Saya hanya mampu berdoa kepada Allah supaya lindungi keluarga saya," katanya dengan nada sebak.
Dalam pada itu, Bilal menyeru kepada semua umat Islam dan juga masyarakat antarabangsa untuk sama-sama mengecam tindakan rejim zionis Israel yang berterusan menindas dan memusnahkan kediaman warga Palestin.
Justeru, beliau mengesa semua pihak meningkatkan tahap sokongan terhadap Palestin dan menyokong rakyat itumendapatkan hak mereka selepas ditindas lebih 75 tahun oleh rejim Zionis.
"Kami hanya mempertahankan dan memperjuangkan hak yang ditindas selama ini.
Itu tanah kami, Israel tidak mempunyai hak menghancurkan tempat tinggal di tanah kelahiran kami sendiri," tegasnya. - Sinar Harian