Situasi PKRC MAEPS semakin mencabar, pesakit kategori 3 bertambah
Fareez Azman
Mei 16, 2021 16:10 MYT
Mei 16, 2021 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 kini semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit COVID-19 kategori 3.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menerusi ciapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam twitter pada Ahad.
Jelas kenyataan itu, PKRC MAEPS pada awal Januari lalu, mempunyai sebanyak 60 katil bagi pesakit kategori 3, namun kini seramai 757 pesakit kategori 3 dimasukkan ke pusat kuarantin terbabit.
"PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3 pada awal Januari lalu tetapi kini menempatkan seramai 757 pesakit kategori 3 dan bercadang untuk menambah kapasiti kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit COVID-19 terkini.
"Oleh yang demikian, pesakit dengan kategori 3 ditempatkan di dewan-dewan yang berdekatan dengan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara, supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil ditempatkan di dewan DG," jelas kenyataan itu.
Malah pihak PKRC jelas kenyataan itu sedang cuba sebaik mungkin untuk memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di pusat kuarantin itu.
#Twitter
#KKM
#ICU
#Klang
#Kementerian Kesihatan
#unit rawatan rapi
#PKRC
#COVID-19
#Serdang
#MAEPS 2 0
#kesihatan