Situasi pandemik: Syarat, kos tambahan baharu dijangka dikenakan kepada bakal haji

Fauzi Suhaimi
Disember 22, 2020 16:08 MYT
ZULKIFLI: Para bakal haji juga perlu bersedia dari segi kewangan bagi memenuhi tuntutan ini nanti. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan beberapa syarat dan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kepada bakal haji sempena musim haji akan datang (1442H/2021M).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri berkata, perkara itu susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.
Katanya, langkah itu selari dengan usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Oleh itu, para bakal haji juga perlu bersedia dari segi kewangan bagi memenuhi tuntutan ini nanti. Dijangka juga terdapat syarat pemilihan bakal haji dari aspek tahap kesihatan.
“Justeru, para bakal haji Malaysia harus sentiasa diingatkan untuk lebih bersedia dari segi kesihatan fizikal dan mental. Biasakan diri dengan norma baharu bagi memudahkan para bakal haji menyesuaikan diri jika terpilih mengerjakan ibadat haji nanti,” katanya ketika merasmikan program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zulkifli dalam sidang media menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan keputusan terbaik akan dibuat mengambil kira beberapa faktor.
"Kita juga akan berunding dengan Kerajaan Arab Saudi dalam masa terdekat dengan mengambil kira semua kos yang terkait dengan ibadah haji dan segala perincian lanjut akan dikeluarkan oleh Tabung Haji.
"Namun, kita tidak perlu risau (memikirkan kos) ini sebab kita akan beritahu dalam satu bahasa yang tidak mengejut dan tak munasabah," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar semua bakal haji untuk menambahkan wang simpanan sebagai persediaan terbaik.
#kerajaan malaysia #Zulkifli Mohamad #bakal haji #jemaah haji #SOP #Arab Saudi #COVID-19
;