Situasi ekonomi meruncing, biasiswa dikecilkan buat ibu bapa rungsing

Dania Zainuddin
Mac 5, 2016 20:37 MYT
KALSOM: Beliau menyedari peluang untuk memperoleh mana-mana tajaan biasiswa adalah sangat tipis. - Gambar Astro AWANI
Situasi ekonomi yang mencabar ketika ini menyebabkan ramai ibu bapa bimbang mengenai peluang melanjutkan pelajaran ketika jumlah biasiswa dikecilkan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, rata-rata ibu bapa yang mahu menghantar anak melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) sudah bersedia dengan simpanan yang secukupnya bagi membiayai pengajian anak.
Selain persediaan simpanan, ada sebahagian daripada mereka juga memiliki insuran pendidikan bagi tujuan itu .
Bagi Kalsom Idris, ibu kepada pelajar lepasan SPM, beliau menyedari peluang untuk memperoleh mana-mana tajaan biasiswa adalah sangat tipis.
"Suami saya sudah membuat simpanan kerana kami mengetahui peluang untuk memperoleh biasiswa adalah tipis memandangkan jumlah pelajar cemerlang SPM yang lebih 9.000.
"Kami sudah mempunyai peruntukan, ia hanya bergantung kepada IPT yang kami daftar," kata Kalsom.
Sementara itu, Azizah Mahmood juga mengakui memiliki simpanan pendidikan untuk anaknya sejak mula bekerja.
"Sememangnya saya ada simpanan pendidikan sejak dahulu lagi. Walaupun gaji saya kecil pada masa itu, ia banyak membantu sekarang.
"Saya mengalakkan ibu bapa muda sekarang untuk mulakan simpanan kerana persaingan kini semakin tinggi," kata Azizah.
Pada masa sama, jika diberi pilihan, ada yang tidak mahu mengambil pinjaman pendidikan kerana menyifatkan langkah itu hanya akan membebankan anak dengan bayaran faedah.
Selain itu, mereka juga lebih cenderung untuk memilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kerana proses pendaftaran yang lebih mudah serta pemilihan bidang pengajian yang luas.
Mengulas keputusan kerajaan mengurangkan jumlah tajaan biasiswa, walaupun tindakan dilihat mengecewakan, para ibu bapa berpendapat pelajar tetap perlu berusaha dengan lebih tinggi untuk masa depan mereka.
#biasiswa #IPT #situasi ekonomi #Tajaan
;