Situasi di Asia Barat: Malaysia bertindak bijaksana perkukuh ekonomi, kewangan
Astro Awani
April 14, 2024 20:05 MYT
April 14, 2024 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara susulan situasi terkini di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk potensi dampak ke atas Malaysia dan kedudukan pasaran kewangan.
Menurutnya, kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
"Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
"Semua pihak juga mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.
"Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita daripada kemelut itu.
Tegas beliau, sekarang adalah masanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan.
Pada Ahad, beliau mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat.
Serangan yang dilancarkan Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca daripada serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.
Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.