Situasi COVID-19 di Malaysia terkawal, tiada ledakan kes - Dr Dzulkefly

Bernama
Ogos 18, 2024 16:19 MYT
Dr Dzulkefly berkata berdasarkan pemerhatian KKM, jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital atau fasiliti kesihatan juga dalam keadaan terkawal. -Gambar fail
KUALA SELANGOR: Situasi COVID-19 di Malaysia kini dalam keadaan terkawal dan tiada ledakan kes direkodkan selepas lebih dua tahun negara beralih ke fasa hidup bersama pandemik itu.

Ringkasan AI
  • Situasi COVID-19 di Malaysia terkawal dengan jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital dalam keadaan terkawal.
  • Pelbagai program kesihatan sedang dan akan dilaksanakan di Kampung Bukit Badong dan Kampung Harmoni untuk mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat awal.
  • Projek Kampung Angkat MADANI KKM melibatkan peningkatan infrastruktur awam dan kesihatan, memberi manfaat kepada 942 keluarga dengan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta setiap kampung.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital atau fasiliti kesihatan juga dalam keadaan terkawal.
"Namun, kita tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memantau institusi kesihatan awam termasuk membuat hebahan umum jika berlaku peningkatan kes," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung Angkat MADANI Kampung Bukit Badong di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pelbagai program termasuk pemeriksaan serta saringan kesihatan sedang dan akan dilaksanakan hingga akhir tahun ini di dua Kampung Angkat MADANI kementerian itu iaitu Kampung Bukit Badong dan Kampung Harmoni di Kuala Selangor.
"Sebanyak sembilan program pengesanan, dua program pencegahan dan satu program rawatan kesihatan telah dijalankan sejak Julai lepas mensasarkan tiga kumpulan iaitu kanak-kanak seawal dua tahun, remaja dan dewasa serta warga emas.
"Menerusi pelbagai program kesihatan ini, kita harap dapat membantu masyarakat untuk mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat awal dan memastikan mereka menerima rawatan bersesuaian," katanya.
Dzulkefly berkata projek Kampung Angkat MADANI KKM turut merangkumi peningkatan infrastruktur awam dan kesihatan yang bakal memberikan manfaat kepada 942 keluarga merangkumi 4,585 penduduk di dua kampung berkenaan.
Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan pada Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan RM100 juta dengan setiap kampung terpilih menerima peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Dzulkefly Ahmad #KKM #kes jangkitan