Situasi COVID-19 dan influenza terkawal - KKM
Bernama
Disember 23, 2024 07:10 MYT
Disember 23, 2024 07:10 MYT
PUTRAJAYA: Situasi COVID-19 dan influenza di Malaysia terkawal dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes varian baharu dikesan dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron dan subvariannya.
Menurut KKM, kes dilaporkan menurun 14.23 peratus kepada 1,477 kes pada Minggu Epidemiologi (ME51) iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Dis lepas berbanding 1,722 kes pada minggu sebelumnya.
Sementara pengisian katil bukan kritikal menurun daripada 0.16 peratus kepada 0.13 peratus dan pengisian katil ICU menurun daripada 0.14 peratus kepada 0.10 peratus.
"Tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan sejak 25 April dengan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58 kematian," menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.
Bagi jangkitan influenza, KKM memaklumkan hasil survelan berasaskan makmal mendapati 139 daripada 856 sampel penyakit seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan (16.24 peratus) serta lapan daripada 67 sampel jangkitan respiratori akut dan teruk (SARI) di hospital (11.94 peratus) dikesan positif bagi virus influenza pada ME50.
"Daripada sampel yang dikesan positif influenza, 32 peratus adalah terdiri daripada jenis influenza A manakala 26 peratus adalah influenza B," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan walaupun jangkitan influenza tidak wajib untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] namun KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara.
"Peningkatan kes COVID-19 dan influenza di Malaysia pada hujung tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti Jepun," menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitan atau penularan penyakit kepada orang lain semasa musim perayaan.
-- BERNAMA