Situasi banjir di seluruh negara tunjuk tanda pemulihan - Ahmad Zahid
Bernama
Disember 2, 2024 16:43 MYT
Disember 2, 2024 16:43 MYT
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan trend penurunan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, setakat jam 1 tengah hari tadi, jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang sebanyak 13.69 peratus kepada 561 PPS, manakala jumlah keluarga terjejas menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga.
Beliau berkata, dua negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan dan Terengganu, turut merekodkan trend yang sama, dengan jumlah PPS yang masih beroperasi di Kelantan menurun sebanyak 11.07 peratus kepada 217 PPS, manakala jumlah keluarga yang terjejas juga berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.
"Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 PPS dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990 keluarga," katanya dalam hantaran di media sosial.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa walaupun keadaan ini membawa sedikit kelegaan, namun semua pihak yang terkesan harus terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
"Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut. Air banjir sering tercemar dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air atau gigitan haiwan berbahaya," katanya.
Beliau juga menasihatkan mereka yang terjejas supaya menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal, terutama selepas kembali ke rumah masing-masing daripada PPS, serta terus mematuhi arahan pihak berkuasa.
Bagi yang masih berada di PPS, beliau menasihati mereka agar terus bersabar dan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan penyelamat serta petugas yang membantu, sambil turut mendoakan agar keadaan musibah ini akan terus bertambah baik.