KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin memburuk selepas jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri berkenaan mencatat 25,462 orang setakat 2 petang hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 15,190 mangsa di Kelantan ditempatkan di 92 PPS melibatkan 4,609 keluarga, manakala 10,272 mangsa di Terengganu ditempatkan di 134 PPS melibatkan 2,809 keluarga.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa yang terjejas di Kelantan melibatkan jajahan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang, Machang, dan Kuala Krai.

Sementara di Terengganu, PPS dibuka membabitkan tujuh daerah iaitu Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, dan Kuala Nerus.

Dua lagi negeri yang terkesan dengan banjir ialah Selangor melibatkan empat mangsa di satu PPS, dan Pahang seramai 503 mangsa di 12 PPS.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat negeri terbabit adalah seramai 25,969 orang setakat ini.

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 2 petang ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Waspada tahap kuning di sembilan daerah melibatkan tiga negeri.

Ia antaranya melibatkan Dungun dan Kemaman di Terengganu; Jerantut, Pekan, Rompin dan Kuantan di Pahang; serta Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan  yang berisiko tinggi. 

"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon memastikan setiap PPS  dilengkapi  dengan  keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan," kata NADMA dalam kenyataan hari ini.

NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) juga akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal, tulis kenyataan itu lagi.