Sittah Annur PMYT bertaubat: 'Saya insaf, tiada jalan pintas ke syurga'
Astro Awani
September 27, 2021 15:52 MYT
September 27, 2021 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur mengisytiharkan dirinya bertaubat secara terbuka pagi tadi.
Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar, 39, membuat pengisytiharan itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada jam 11 pagi Isnin.
Pada majlis itu, dia akui dan sedar bahawa kenyataannya menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan, kecemasan dan boleh menyebabkan kecenderungan kepada ganggu gugat, keamanan dan ketenteraman awam.
"Saya menginsafi dan berjanji dengan diri saya bahawa saya tidak akan mengulangi apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan.
"Dengan ini saya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.
"Saya insaf bahawa tiada jalan pintas ke syurga melainkan dengan keyakinan akidah Islam dan melaksanakan kebaikan amal makruf nahi mungkar dengan cara baik dan bijaksana berlandaskan prinsip-prinsip pelaksanaannya.
"Justeru saya meminta dan menyeru kepada semua pihak atau mana-mana individu yang mendengar, mengikuti dan mempercayai penyertaan tentang mimpi saya agar segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan berdasarkan kenyataan saya itu dan kembalik kepada Islam," katanya pada majlis berkenaan.
Majlis pengisytiharan taubat disaksikan empat orang saksi iaitu Mufti Selangor Datuk Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Ansarullah Mohd Hashim.
Ajaran Sesat | Polis kesan kumpulan PMYT dipimpin Sittah Annur
Menurut Mohd Shahzihan, perbuatan dan pernyataan wanita itu yang tular di media sosial sebelum ini adalah bertentangan dengan hukum syarak.
Kesalahan itu katanya dilakukan dibawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 (B) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Dengan pengisytiharan ini, ia tidak pernah membatalkan mana-mana Seksyen yang berkenaan termasuk tidak membatalkan apa-apa fatwa yang berkuat kuasa atau apa-apa yang akan dikuatkuasakan,” katanya kepada media pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata individu yang pernah mengikuti ajaran sesat ini disarankan untuk segera bertaubat.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Sittah Annur yang mendakwa akan berlaku perang dunia ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Wanita itu turut mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.
Pada 3 September lalu, Sittah Annur ditahan polis di kediamannya.
Turut ditemui resit dana sumbangan dari pengikutnya melebihi RM84,000.