Siti Zaharah dilantik KP Miros kali kedua
Bernama
November 17, 2023 16:51 MYT
November 17, 2023 16:51 MYT
PUTRAJAYA: Siti Zaharah Ishak kembali menerajui Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah badan berkenaan buat kali kedua berkuat kuasa hari ini.
Miros dalam kenyataan mengenai pelantikan itu hari ini memaklumkan Siti Zaharah, 47, pernah menyandang jawatan berkenaan bagi tempoh dua tahun pada 5 Mei 2018 hingga 4 Mei 2020.
Menurut kenyataan itu pelantikan Siti Zaharah, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sistem Pengangkutan dari University of South Australia, kali ini adalah bagi menggantikan Datuk Khairil Anwar Abu Kassim, 47, yang telah tamat kontrak perkhidmatan.
"Miros yakin Siti Zaharah dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju penyelidikan keselamatan jalan raya, seterusnya meningkatkan lagi prestasi institut ini dalam mencapai aspirasi memupuk sains dan kesenian dalam intervensi keselamatan jalan raya serta meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan Miros," menurut kenyataan itu.
--BERNAMA