Siti Nurshuhaini intai penampilan kedua Piala Uber
Bernama
Mac 2, 2024 11:40 MYT
Mac 2, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman berharap kejayaan mempertahankan gelaran juara Kejohanan Kebangsaan Bawah 21 (B-21) di Kuantan minggu lepas mampu memikat hati barisan jurulatih menyenaraikannya ke dalam skuad Piala Uber 2024 di Chengdu, China.
Siti Nurshuhaini mengakui beraksi pada Piala Uber 2024 menjadi fokus utamanya tahun ini selepas membuat penampilan sulung pada edisi 2020 di Aarhus, Denmark.
"Saya rasa kejayaan menjuarai kejohanan B-21 buat kali kedua berturut-turut merupakan permulaan bagus untuk tahun ini.
"Kejohanan di Kuantan minggu lepas merupakan antara kejohanan penting untuk saya buktikan kepada barisan kejurulatihan (menyenaraikannya ke dalam skuad Piala Uber 2024)," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pemain berusia 19 tahun itu yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengekalkan kejuaraan B-21 keduanya selepas menumpaskan Loh Zhi Wei dari Selangor, 21-12, 21-17.
Piala Uber 2024 dijadual berlangsung dari 28 April hingga 5 Mei.
Pada Piala Uber 2020, pemain dari Rawang itu pernah bermain bersama dengan skuad kebangsaan ketika tumpas 0-5 kepada China pada peringkat Kumpulan D.
Siti Nurshuhaini yang turun selaku pemain perseorangan kedua jelas bukan tandingan He Bing Jiao selepas tumbang 8-21, 3-21.
Dalam pada itu, beliau juga menaruh harapan untuk beraksi pada Cabaran Antarabangsa Vietnam 2024 dari 12 hingga 17 Mac ini di Hanoi.
Pemain di ranking ke-255 dunia itu turut menyasarkan untuk menghuni kelompok 150 pemain terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.
-- BERNAMA