Siti Nurhaliza 'tukar profesion' jadi penyampai ramalan cuaca

Nickyson Nyambar
Disember 21, 2022 22:38 MYT
Laporan itu disiarkan menerusi slot Berita Wilayah dan Berita Perdana yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) masing-masing pada jam 5 petang dan 8 malam. - Gambar/ FB MetMalaysia
KUALA LUMPUR : Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mempamerkan bakatnya sebagai 'penyampai berita' apabila tampil menyampaikan ramalan cuaca hari ini.
Laporan itu disiarkan menerusi slot Berita Wilayah dan Berita Perdana yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) masing-masing pada jam 5 petang dan 8 malam.
Kemunculan penyanyi terkenal itu sekali gus memberi keterujaan kepada peminat pelantun lagu Purnama Merindu itu.
"Alhamdulillah, terima kasih Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjemput saya berkolaborasi dengan menyampaikan ramalan dan keadaan cuaca pada Rabu, 21 Disember 2022.
“Kolaborasi ini diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti keadaan cuaca, dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang dan laut bergelora.
“Saksikan saya menyampai informasi cuaca dalam RTM1 untuk siaran berita televisyen pada jam lima petang dan lapan malam,” kongsinya di Instagram.
MetMalaysia dalam masa sama berbesar hati atas kesudian beliau untuk berkolaborasi dalam penyampaian maklumat semasa cuaca negara ini.
Kehadiran Siti Nurhaliza hari ini turut diraikan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dan warga Jabatan Meteorologi Malaysia.
#MetMalaysia #ramalan cuaca #Datuk Seri Siti Nurhaliza #penyanyi
;