Siti Nurhaliza terima anugerah Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2019

Sahlizah Mohamed
Ogos 3, 2019 02:23 MYT
Siti Nurhaliza mendedikasikan anugerah yang khusus buat anaknya, Siti Aafiyah Khalid. - Instagram/Siti Nurhaliza
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terpilih menerima anugerah pada Majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100MIYE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Siti Nurhaliza yang hadir mengenakan gaun berona merah hati melalui akaun Instagram miliknya menyampaikan rasa syukur atas kepercayaan sehingga membolehkannya menerima anugerah berkenaan.
Lebih manis lagi apabila Siti Nurhaliza menerima anugerah itu yang disampaikan oleh ‘doktor kegemarannya’, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi platform media sosial yang sama, Siti Nurhaliza turut berkongsi beberapa keping foto dirinya bersama Dr Mahathir dengan kaspyen “My Favourite Doctor”.
Beliau menerusi Instagram turut menulis bahawa anugerah itu adalah khas buat anaknya, Siti Aafiyah Khalid.
Titipnya lagi, semoga Siti Aafiyah membesar menjadi insan yang berjaya dan bermanfaat kepada masyarakat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Anugerah berprestij itu diadakan bagi mengiktiraf usahawan muda tempatan yang berani, kreatif dan inovatif dalam pelbagai bidang dan industri diceburi.
#100MIYE #Anugerah Usahawan Muda #Instagram #KLCC #media sosial #Paling Berpengaruh #Siti Nurhaliza #usahawan