Siti Nurhaliza bertuah saksi pemasyhuran Sultan Pahang ke-6
Bernama
Januari 15, 2019 19:19 MYT
Januari 15, 2019 19:19 MYT
Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan seorang putera raja yang dikenalinya sejak beliau dibangku sekolah kini bergelar Sultan.
Siti Nurhaliza berkata, beliau mula mengenali Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda yang semasa itu bergelar Tengku Mahkota Pahang menyaksikannya menyanyi pada majlis anjuran sekolah semasa di sekolah rendah.
Beliau berkata, sebelum dan di awal penglibatannya dalam bidang nyanyian, beliau juga sering diundang untuk menyerikan majlis anjuran kerajaan Pahang yang ada di antaranya dihadiri Sultan Abdullah atau ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.
"Dan sebenarnya baginda (Sultan Abdullah) juga berkebolehan menyanyi. Kami pernah berduet bersama dan lagu-lagu pilihan baginda adalah lagu balada. Antara lagu kesukaan baginda ialah 'Sampai Hati' (nyanyian kumpulan Spring)," katanya.
Siti Nurhaliza berkata demikian semasa ditemui selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di Pekan pada Selasa.
Siti Nurhaliza yang hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengakui, beliau juga mengagumi keperibadian Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang disifatkan begitu berkebolehan.
"Tunku Azizah bukan hanya berkebolehan dalam bidang masakan, tetapi juga handal mengait, mengemas dan amat meminati seni tenun Pahang selain dikenali dengan sikap penyayang.
"Saya menyanjungi keperibadian baginda (Tunku Azizah) dan rasa bertuah apabila menjadi salah seorang pemilik buku resepi baginda," katanya.
Sebagai anak jati Pahang, pelantun lagu Anta Permana itu berkata, rakyat negeri ini bertuah kerana memiliki Sultan yang dikenali dengan sikap adil, prihatin dan mewarisi legasi ayahanda baginda yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau gembira dengan pemasyhuran itu dan terharu apabila menerima titah Sultan Abdullah untuk menghadiri istiadat tersebut.
"Saya mengenali tuanku sejak 30 tahun lalu dan pernah bermain badminton bersama-sama... moga hubungan itu terus kekal dan saya yakin peribadi baginda yang muda, bertenaga dan sentiasa mendampingi rakyat menjadi kelebihan buat rakyat Pahang," katanya.
Mohamed Azmin menambah kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan juga sentiasa memelihara dan menjalin kerjasama erat dengan pentadbiran kerajaan Pahang walaupun berbeza ideologi politik.
Katanya, ketetapan itu juga selari dengan titah Sultan Abdullah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, atas kapasiti sebagai Pemangku Raja Pahang yang mahu supaya hubungan baik itu terjalin demi kesejahteraan rakyat.
Anggota Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah pula berkata, pemasyhuran Sultan Abdullah sudah pasti mempunyai penanda aras yang cukup tinggi dalam menjaga kebajikan rakyat memandangkan sikap sama telah dilaksanakan ayahanda baginda.
"Baginda sudah pasti mahu melakukan lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan ayahanda baginda, apatah lagi dengan pengalaman baginda sebagai Pemangku Raja Pahang sebanyak dua kali sebelum ini.
"Saya juga melihat Sultan Abdullah sebagai seorang Sultan yang memang dinanti-nantikan oleh generasi muda kerana sudah terkenal dalam bidang sukan khususnya bola sepak.
"Baginda juga senang menyantuni rakyat tanpa terikat dengan protokol dan sangat mudah melayani permintaan mereka yang ingin berswafoto menjadikan baginda antara figura yang popular dalam media sosial milik remaja," katanya. - BERNAMA
#Azmin Ali
#pemasyhuran
#Siti Nurhaliza
#Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Sultan Pahang
#Tengku Puan Pahang
#Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah