Siti Mastura bayar saman RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP
Sinar Harian
Januari 23, 2025 10:15 MYT
Januari 23, 2025 10:15 MYT
GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.
Pembayaran ganti rugi itu dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam tiga pemimpin itu, Datuk Sankara Nair pada Rabu.
Ahli Parlimen Pas itu telah mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif dengan menyerahkan cek kepada Sankara Nair, sementara menunggu rayuan kes.
"Dengan persetujuan ini direkodkan, kami akan mengeluarkan surat ikatan kepada defendan untuk tindakan lanjut dan menunggu perbicaraan Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi aplikasi Zoom Meeting yang diadakan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang turut dihadiri peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff.
Sebelum ini, tiga pemimpin DAP menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman, yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 November tahun lalu.
Menerusi penyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Kuan Yew.
Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura telah mempertahankan kenyataannya itu bahawa ia dibuat berdasarkan kebenaran dan fakta.
Siti Mastura berkata, dakwaannya itu dibuat berdasarkan buku panduan 'BN Comms' yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. - Sinar Harian