Siti Kasim dakwa objek menyerupai bom ditemui pada kereta
Astro Awani
Julai 21, 2023 16:35 MYT
Julai 21, 2023 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: Aktivis Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim mendakwa terdapat objek menyerupai bom ditemui pada keretanya di Jalan Maarof, Bangsar di sini, hari ini.
Menerusi siaran langsung di Facebooknya, dia memaklumkan dua objek terbabit disangkut di bahagian belakang tayar keretanya.
Katanya, objek itu ditemui mekanik di sebuah pusat servis selepas dia menghantar keretanya ke premis berkenaan, jam 12 tengah hari.
“Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta. Ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.
“Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan yang bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya.... saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.
“Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom.
“Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar,” katanya.
Tambahnya, dia menghantar kenderaannya untuk diservis kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di sana.