Siti Hasmah agih coklat kepada petugas media

Bernama
Februari 27, 2020 12:04 MYT
Dr Siti Hasmah menyampaikan makanan gula-gula kepada para pemberita semasa memasuki bangunan Perdana Putra hari ini. -- fotoBERNAMA
Sifat keibuan dan keprihatinan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sentiasa terserlah apabila sanggup berhenti dan mengagihkan coklat kepada petugas media yang 'berkampung' di Perdana Putra di sini.
Beliau yang menuju ke Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada kira-kira 10 pagi berhenti di kawasan pintu masuk laluan Protokol dan menyapa kira-kira 30 petugas media di situ.
"Ambil... mari ambil," katanya tersenyum sambil menghulurkan sebekas coklat.
Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Perdana Putra pada kira-kira 8.30 pagi.
Pada kira-kira 10.30 pagi, konvoi yang membawa Perdana Menteri dilihat meninggalkan perkarangan bangunan tersebut.
Ditanya mengenai kesihatannya, Dr Siti Hasmah berkata: "Alhamdulillah, sihat."
Beliau turut menasihati petugas media untuk menjaga kesihatan.
"Jaga diri ya," katanya tersenyum.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.
-- BERNAMA
#berkampung #coklat #kesihatan #Mahathir Mohamad #Media #Perdana Menteri #Perdana Menteri Interim #Siti Hasmah Mohd Ali #Yang di-Pertuan Agong
;