Siti Aishah hanyut dalam ledakan kreativiti dan pertembungan ideologi
Ashwad Ismail
November 28, 2013 17:49 MYT
November 28, 2013 17:49 MYT
Fenomena kumpulan The Beatles dan pertembungan ideologi memuncak ketika era 60-an dan 70-an mendominasi proses pembentukan identiti golongan muda di United Kingdom ketika itu.
Menurut Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tan Sri Razali Ismail, senario itu menjadi latar kepada misteri kehilangan Siti Aishah Abdul Wahab, yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London.
Razali turut menyifatkan senario di United Kingdom ketika itu meraikan perbezaan turut menyumbang kepada pembentukan pemikiran pelajar-pelajar Malaysia di dalam sesuatu pergerakan mahasiswa.
"Pada masa itu perjuangan ideologi sedang memuncak. Waktu itu adalah masa terbaik kepada mereka mendapatkan maklumat dan ilmu mengenai pelbagai ideologi. Suasana waktu itu amat hebat kepada anak-anak muda untuk bersama merasainya," kata Razali yang juga Pengerusi Gerakan Kesederhanaan Global GMM.
Razali berkongsi pengalamannya menceritakan senario pelajar-pelajar Malaysia di London semasa berkhidmat sebagai Kaunselor di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana pada tahun 1970-1972.
Lanskap geo-politik dunia ketika itu menyaksikan kempen pendemokrasian sedang rancak berjalan dan sedang mengambil tempat di dalam mempengaruhi bukan sahaja hala tuju malah sistem sesebuah negara.
Keadaan itu sekaligus menyaksikan pertarungan sengit pelbagai ideologi terutamanya sosialisme, komunisme dan kapitalisme serta sering diperjuangkan setiap gerakan mahasiswa.
Razali berpendapat, apa yang berlaku kepada Siti Aishah bukanlah sesuatu yang asing di dalam proses sosialisasi anak-anak muda, terutama mereka yang aktif beraktivis.
"Dicampur pula dengan keghairahan fenomena muzik The Beatles, mahasiswa Malaysia ketika itu juga tidak terlepas sebaliknya bersama di dalam era itu," ujar beliau.
Walau bagaimanapun pada masa yang sama, beliau percaya wanita itu tidak diperhambakan seperti mana yang dibayangkan sebahagian besar masyarakat.
"Saya tidak percaya beliau jadi hamba dan sebagainya. Tapi saya lebih percaya ia lebih kepada pilihan sendiri. Dia juga seorang yang pintar."
Beliau secara umumnya melihat episod kehilangan Siti Aishah sebagai sesuatu yang menarik dan refleksi kepada senario anak muda era 70-an.