Sitaan akaun bank Bersatu tidak boleh dilepas sehingga selesai perbicaraan - SPRM

Bernama
Disember 2, 2024 21:41 MYT
Wan Shaharuddin berkata akaun bank tersebut adalah 'subject matter' kepada siasatan serta pendakwaan dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyitaan akaun bank parti Bersatu dilakukan mengikut dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata akaun bank tersebut adalah 'subject matter' kepada siasatan serta pendakwaan dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
"Sitaan akaun bank terbabit adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
"Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan 'Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan' dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, Pendakwa Raya (DPP) menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
"Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah Akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta ini.
"Adalah jelas, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dipertuduh di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001," katanya.
Wan Shaharuddin berkata bagaimanapun pihak Bersatu sudah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
"Oleh itu, pada 30 Okt 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah pun membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 Sept 2025.
"Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan Akta dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempat di sisi undang-undang," katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata Bersatu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM dan bank berkaitan susulan pembekuan akaun parti berkenaan.
Presiden Bersatu itu mendakwa tindakan pembekuan akaun bank oleh SPRM sebagai satu penyalahgunaan kuasa kerana parti berkenaan tidak pernah dituduh atas kesalahan undang-undang.
Beliau berkata ketika ini peguam Bersatu sedang meneliti tindakan yang boleh diambil kerana mengikut undang-undang yang berkaitan dengan hal itu, pihak terlibat hanya boleh membekukan akaun dalam tempoh 12 bulan tetapi dalam kes Bersatu selepas tempoh 12 bulan akaun masih dibekukan.
-- BERNAMA
#sitaan akaun bank #pembekuan akaun #Bersatu #SPRM #Muhyiddin Yassin #perbicaraan
;