Siswazah perubatan, pekerja hotel sekali lagi didakwa terlibat kegiatan pelacuran

Bernama
Mac 17, 2017 14:43 MYT
Sindiket pelacuran itu difahamkan bergiat aktif sejak tahun lepas dengan menggunakan medium aplikasi We Chat untuk berurus niaga. - Gambar hiasan
Seorang siswazah perubatan sebuah universiti di Mesir dan seorang pekerja hotel sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini bagi 23 pertuduhan melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran di sini sejak Mei tahun lalu.
Khairul Azzuar Yusoff, 28, dan Mohyuddin Ahmad Fajaruddin, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Khairul Azzuar, yang masih menunggu panggilan untuk menjalani perkhidmatan 'housemanship' di hospital pada Mei ini, dan Mohyuddin masing-masing didakwa bagi empat dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti persundalan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Khairul Azzuar dan Mohyuddin juga masing-masing didakwa bagi tujuh dan dua pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan itu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 372 (1)(f) kanun sama yang memperuntuk hukuman sama seperti Seksyen 372 A(1) Kanun Keseksaan.
Mereka juga didakwa bersama-sama bagi lima pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan mengikut Seksyen 372 (1)(f) kanun sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa hotel di sekitar Subang Jaya di antara Mei 2016 dan Januari tahun ini dengan melibatkan lima mangsa berusia 19 hingga 22 tahun termasuk seorang warganegara Indonesia.
Pada 8 Mac lepas, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi 54 pertuduhan yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kedua-dua tertuduh sebelum ini tidak dibenarkan ikat jamin ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Berikutan, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, sindiket pelacuran itu bergiat aktif sejak tahun lepas dengan menggunakan medium aplikasi We Chat untuk berurus niaga manakala mangsa termasuklah penuntut universiti. -- BERNAMA
#aktiviti persundalan #aplikasi We Chat #housemanship #Khairul Azzuar Yusoff #Mahkamah Sesyen #Mohyuddin Ahmad Fajaruddin #orang tengah #pekerja hotel #pelacuran #siswazah perubatan #universiti di Mesir
;