Sistem transit kastam ASEAN percepat perdagangan barangan antara negara Asia Tenggara

Bernama
November 30, 2020 05:20 MYT
Di bawah ACTS, sektor swasta boleh membuat pengisytiharan transit kastam tunggal yang merangkumi pengangkutan barangan di pelbagai negara ASEAN tanpa perlu membuat pengisytiharan kastam berulang kali.
KUALA LUMPUR: Pedagang rentas sempadan di ASEAN kini boleh memanfaatkan sistem pengurusan transit kastam ASEAN dalam talian - Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS) untuk mempercepat perdagangan barangan melalui jalan darat antara negara-negara Asia Tenggara.
ACTS dibangunkan dengan sokongan Kesatuan Eropah (EU).
ASEAN dan EU dalam satu kenyataan bersama pada Isnin berkata dengan penggunaan ACTS, sektor swasta boleh membuat pengisytiharan transit kastam tunggal yang merangkumi pengangkutan barangan merentasi beberapa negara ASEAN tanpa membuat pengisytiharan kastam berulang kali atau menukar kenderaan di setiap sempadan.
ACTS dibangunkan untuk merealisasikan matlamat mengurangkan kos transaksi sebanyak 10 peratus menjelang 2020 dan menggandakan perdagangan antara negara ASEAN antara 2017 hingga 2025.
Ia akan membolehkan syarikat perniagaan membuat pengisytiharan e-transit secara terus dengan Pihak Berkuasa Kastam ASEAN dan menjejak pergerakan barangan dari ruang punggah di titik pelepasan ke destinasi penghantaran akhir.
Sementara itu Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Dr Ramlah Mukhtar berkata ujian perintis sistem tersebut dijalankan antara Januari dan Oktober 2020 yang mana ACTS boleh digunakan oleh Kemboja, Laos, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
"Myanmar akan menyertai sistem itu pada 2021 dan kami menjangka Brunei, Filipina dan Indonesia menyertai kemudian nanti dan penyertaan mereka akan disertakan dalam pengukuhan aplikasi dan sistem," katanya semasa sidang akhbar maya sempena pelancaran rasmi ACTS, di sini, pada Isnin.
Pengarah Eksekutif ASEAN Federation Forwarders Associations (AFFA) Iman Ghandi berkata ACTS dibangunkan untuk menyelaraskan proses kastam rentas sempadan yang bertujuan mempercepat pergerakan transit dan mengurangkan masa dan perbelanjaan menjalankan perdagangan barangan serantau.
"ACTS mempermudah pergerakan barangan di seluruh rantau ini, menjadikannya lebih efisien dan efektif dari segi kos.
"Di bawah ACTS, sektor swasta boleh membuat pengisytiharan transit kastam tunggal yang merangkumi pengangkutan barangan di pelbagai negara ASEAN tanpa perlu membuat pengisytiharan kastam berulang kali atau menukar kenderaan di setiap sempadan. Ia juga akan mengurangkan kos inventori pengeluar," katanya.
Sistem itu diurus oleh Pasukan Pengurusan Pusat ACTS yang terletak di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia, dengan sokongan daripada program ARISE Plus yang dibiayai EU.
ARISE Plus menyediakan latihan ACTS kepada pemegang kepentingan dalam sektor awam dan swasta termasuk pihak berkuasa kastam, agensi pengangkutan kerajaan, syarikat pengangkutan, bank dan syarikat insurans.
-- BERNAMA
#ASEAN #kastam #transit #EU #ACTS #Kesatuan Eropah #dalam talian #perdagangan #jalan darat #Asia Tenggara #pedagang #rentas sempadan #kos transaksi #pengisytiharan e-transit #Ramlah Mukhtar #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #Iman Ghandi #ARISE Plus
;