Sistem syif di klinik kerajaan perlu kajian terperinci - MMA

Bernama
Jun 16, 2020 04:04 MYT
Ganabaskaran berkata kementerian perlu menangani isu-isu berkaitan jumlah petugas dan infrastruktur tanpa mengetepikan kebajikan.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengkaji secara terperinci sistem syif baharu di semua klinik kerajaan sebelum melaksanakannya.
Presidennya Dr N. Ganabaskaran berkata kementerian perlu terlebih dahulu menangani isu-isu berkaitan jumlah petugas dan infrastruktur tanpa mengetepikan kebajikan kesihatan serta lebih banyak melibatkan pemegang taruh.
Beliau berkata terdapat kekurangan dari segi jumlah doktor, jururawat dan petugas sokongan lain di kemudahan kesihatan di negara ini, termasuk klinik kerajaan.
"Satu kajian lengkap perlu dilakukan dengan penglibatan pemegang taruh sebelum melaksanakan langkah itu.
"Ahli farmasi, juru teknologi makmal serta pemandu ambulans juga perlu diberi perhatian selain doktor dan jururawat, memandangkan terdapat kes yang perlu dirujuk ke hospital.
"Sistem syif boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan dapat mengatasi masalah jumlah petugas dan infrastruktur sokongan sewajarnya.
"Di bawah sistem dua syif yang baharu, jumlah petugas kesihatan yang bekerja dalam setiap syif adalah kecil disebabkan oleh kekurangan kakitangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata klinik kerajaan, yang kini dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat), terlampau sesak, sehingga kekurangan petugas akan memberi tekanan kepada sistem berkenaan di klinik khususnya semasa waktu puncak.
Dr Ganabaskaran berkata selain mempengaruhi kualiti penjagaan, sistem syif juga akan menyaksikan waktu operasi klinik dilanjutkan sehingga 9.30 malam.
"Dua syif bagi petugas adalah dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan 12.30 tengah hari hingga 9.30 malam. Kakitangan KKM hanya dimaklumkan mengenai sistem syif itu baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata buat masa ini, selain perkhidmatan diagnostik dan terapeutik, petugas kesihatan di klinik itu turut terlibat dalam menyaring dan mengesan kontak untuk kes COVID-19, di samping program penjagaan tempat tinggal.
"Petugas terlatih dalam aspek-aspek ini khusus untuk memastikan rawatan yang tepat diberikan kepada rakyat.
"Dengan melaksanakan sistem syif, agak mustahil untuk meneruskan standard perkhidmatan rawatan sekarang ini," katanya.
Dr Ganabaskaran berkata kekurangan doktor di klinik kerajaan juga akan mempengaruhi penjagaan dalam Konsep Doktor Keluarga, yang melibatkan doktor memberikan rawatan kepada pesakit dan keluarganya seumur hidup.
"Doktor yang kerap berjumpa dengan pesakit tertentu dan ahli keluarganya tidak boleh ditugaskan dalam syif biasa di bawah sistem syif baharu.
"Konsep doktor keluarga adalah sesuatu yang disokong oleh KKM.
"Mereka memahami keberkesanan dalam pencegahan, pengesanan awal dan rawatan penyakit kronik kerana doktor keluarga sangat mengetahui sejarah perubatan pesakit mereka dari rawatan lanjut dan hubungan baik dengan pesakit mereka," katanya.
Dr Ganabaskaran berkata MMA mengalu-alukan sebarang peningkatan sistem penjagaan kesihatan tetapi semua itu perlu diberi pertimbangan.
"Sebaliknya, kita harus mendidik dan memperkasakan masyarakat untuk mematuhi janji temu berperingkat untuk mengurangkan kesesakan di klinik," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan mengkaji pelaksanaan sistem dua syif di klinik kerajaan di seluruh negara untuk mengurangkan kesesakan.
-- BERNAMA
#Hospital #Kementerian Kesihatan #kerajaan #KKM #klinik #Malaysian Medical Association #N Ganabaskaran #operasi #Persatuan Perubatan Malaysia #syif
;