Sistem syif bomba ditukar daripada 24 jam kepada 12 jam

Rahimah Abdullah
Januari 19, 2016 18:20 MYT
Bermula 1 Januari lalu, 30 buah balai terakhir yang mengamalkan syif 24 jam telah ditukar kepada syif 12 jam. - Gambar fail
Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara beroperasi sepenuhnya dalam sistem syif 12 jam berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, ia dilaksanakan melalui tiga syif sehari bagi menggantikan syif 24 jam sebelum ini.
"Bermula 1 Januari lalu, 30 buah balai terakhir yang mengamalkan syif 24 jam telah ditukar kepada syif 12 jam.
"Ia menjadikan kesemua 279 balai bomba seluruh negara akan beroperasi menggunakan syif 12 jam," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2016 Jabatan Bomba dan Penyelamat di ibu pejabatnya di sini hari ini.
Jelasnya, perubahan operasi syif itu mampu memastikan anggota bomba dan penyelamat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.
"Sistem syif 12 jam yang dibahagikan kepada tiga syif iaitu kumpulan A, B dan C membolehkan mereka mendapat cukup rehat dan sekali gus mampu memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat," ujar beliau.
Bagaimanapun katanya, penilaian berterusan akan dilakukan jika berlaku masalah kekurangan anggota di mana-mana balai bomba berikutan pelaksanaan sepenuhnya sistem itu.
Jabatan itu juga mensasarkan 50 peratus daripada panggilan kecemasan akan dapat dicapai anggota bomba dalam masa 10 minit menjelang 2020.
"Melihat kepada tahun 2016 dan seterusnya, jabatan telah memfokuskan kepada mengurangkan response team ke lokasi-lokasi kecemasan di seluruh negara.
"Pada 2015, 40.46 peratus daripada panggilan kecemasan berjaya dihadiri pasukan bomba dalam tempoh 10 minit," kata beliau.
Pada tahun lalu juga, sebanyak 80,183 panggilan kecemasan diterima jabatan itu.
"Purata 220 panggilan sehari diterima bomba dan penyelamat terdiri dari 40,948 panggilan kebakaran dan 39,235 panggilan menyelamat.
"Ia rendah berbanding 2014 yang mencatatkan 97,252 panggilan kecemasan," tambahnya.
#bomba #JBPM #syif
;