Sistem Statistik Negara yang teguh perlu dilaksanakan supaya penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan strategik oleh pihak berkepentingan diperlukan bagi pembinaan prasaran dan pembangunan kapasiti Sistem Statistik Negara.

“Persekitaran dunia yang kian mencabar dengan daya saing negara semakin bergantung kepada penguasaan data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat telah menuntut agar Sistem Statistik Negara yang teguh perlu dilaksanakan.

“Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan,” kata Muhyiddin pada majlis pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di PICC, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Tambah beliau, inisiatif yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali ini adalah sangat penting bagi memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa negara yang akan menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.


“Melaluinya, saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenalpasti.

“Maklumat seperti fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat.

“Keberhasilan daripada produk dan perkhidmatan statistik secara berkala dengan kekerapan bulanan, suku tahunan dan tahunan merupakan bukti statistik yang digunakan kerajaan sebagai input dalam pembentukan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara,” tambahnya.

Justeru, beliau memohon agar semua rakyat Malaysia memberikan kerjasama dalam membekalkan maklumat yang diperlukan bagi menjayakan Banci 2020 berkenaan.

“Maklumat yang dibekalkan akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa hadapan, yang bakal mengemudi negara ini ke satu tahap yang lebih baik.

“Jika diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita perolehi pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada lima banci terdahulu.

“Peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul kerajaan dan rakyat ini adalah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara secara kompetitif, berintegriti dan bermaruah agar semua rakyat mengecapi taraf hidup yang wajar serta tumpuan terhadap pembangunan dan kemajuan negara untuk mencapai taraf negara maju lebih awal turut dapat direalisasikan,” katanya.