Sistem Raja Berperlembagaan perlu 'dimasyarakatkan' - bekas hakim
Bernama
Ogos 18, 2013 07:22 MYT
Ogos 18, 2013 07:22 MYT
Sistem raja berperlembagaan perlu 'dimasyarakatkan' bagi memberi pemahaman kepada masyarakat umum mengenai semua perkara yang terkandung di dalamnya, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.
Katanya apabila masyarakat memahaminya barulah mereka dapat patuh kepada sistem itu dan undang-undang yang terkandung di dalamnya.
Beliau berpendapat masyarakat masih belum faham atau kurang pemahaman tentang sistem raja berpelembagaan yang mengiktiraf Raja sebagai ketua negara yang dipraktikkan oleh negara ini.
Disebabkan keadaan itu, maka timbulah pelbagai isu mengenai kenyataan atau tindakan yang mempersenda atau menghina institusi diraja, katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Pinang Gading, Sikamat di sini hari Ahad.
Turut hadir ke rumah terbukanya Anggota Parlimen Jempol Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mohd Noor berkata orang yang tidak faham apabila bertanya atau mengatakan sesuatu (mengenai perlembagaan dan institusi diraja) akan mudah terpesong kerana apabila tidak faham, mereka hanya nampak yang tidak baik sahaja.
"Umpamanya orang kata 'untuk apa raja ini, menyemak sahaja kerana sudah ada wakil rakyat dan ahli politik yang memerintah negeri atau negara ini'. Itu adalah pandangan orang yang tidak faham kerana orang yang faham akan mengatakan bahawa raja inilah pelindung negara, pelindung masyarakat dan pengampun segala kesalahan," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mempersoal kepentingan dan peranan institusi diraja selain mengeluarkan kenyataan mempersendakan institusi itu.
Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak adil untuk melabelkan dirinya sebagai seorang yang rasis kerana beliau mengeluarkan kenyataan berdasarkan pengetahuannya mengenai perlembagaan.
"Baru-baru ini saya juga ada mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem satu persekolahan tapi bukan bermakna saya mahu menghapuskan masyarakat Cina atau India (di negara ini). Tapi kenyataan itu diputarbelitkan.
"Sebenarnya saya mahu menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya anak-anak kita dididik di sekolah yang sama dan bersaing sesama kita. Jangan pula kita bercakaran sesama kita," katanya.
Mohd Noor sebelum ini dikecam hebat pelbagai pihak ekoran kenyataannya dalam program 'Wacana Post Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' di Kuala Lumpur pada Mei lepas.
Mohd Isa yang diminta mengulas mengenai tanggapan negatif terhadap Mohd Noor berkata bekas hakim itu mengeluarkan kenyataan berdasarkan pandangannya sendiri dan beliau berhak berbuat demikian.
Katanya pandangan itu seharusnya dinilai dari sudut akademik dan bukanya politik sehingga menimbulkan unsur negatif terhadap pandangan itu.
"Pandangan beliau itu yang bercakap mengenai undang-undang dan perlembagaan adalah berunsur akademik. Tapi kalau perkara itu dipandang dari sudut politik maka ia jadi berlainan," katanya.