Sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen perlu seiring - Shamrahayu
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 21, 2022 11:30 MYT
Januari 21, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem tradisi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini bukan sahaja unik malah harus berjalan mengikut ketetapan serta seiring bagi mengukuhkan antara satu sama lain tanpa mematikan fungsi antara kedua-duanya.
Pakar Perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, sistem demokrasi yang diamalkan tidak seharusnya membolehkan kurangnya kuasa yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu di negara ini.
“Dalam banyak hal dalam negara kita ini, Raja-Raja akan diletakkan di bawah demokrasi, walaupun pada dasarnya Raja itu lebih awal daripada demokrasi.
"Jadi sekarang ini saya katakan bahawa kita sedia untuk menyaksikan pertembungan. Kenapa? Ia berlaku apabila demokrasi itu gagah maka Raja-Raja ini lemah. Itu adalah hakikatnya.
“Kalau demokrasi itu berkecamuk, kebobrokannya telah nampak, maka Raja itu akan menjadi kuat.
"Ini adalah realiti di Malaysia,” jelasnya ketika hadir pada Wacana Muzium Diraja – Tradisi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia.
Jelasnya lagi, pindaan Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 Perlembagaan Malaysia pada Mac 1993 yang ketika itu dianggap sebagai krisis perlembagaan, berlaku disebabkan oleh sistem demokrasi yang terlalu kuat.
“Raja-Raja (pada ketika itu) memang berbolak-balik tidak mahu pada awalnya, malah Raja-Raja telah menghantar memorandum kepada Dewan Negara menyatakan ketidaksetujuan terhadap Pindaan 1993.
“Ini yang sebenarnya realiti dalam masyarakat. Jadi masyarakat membacanya dan tidak ada dokumen lain yang telah menyatakan bahawa Raja-Raja sudah bersetuju (mengenai Pindaan 1993),” jelasnya.
Situasi Raja Berperlembagaan di negara ini, katanya, jauh berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Britain iaitu Raja dalam demokrasi berparlimen.
"Dalam pelantikan Yang di-Pertuan Agong, contohnya, ia disaksikan oleh dua wakil daripada Majlis Raja-Raja, ia bukan disaksikan oleh wakil di Parlimen.
"Sedangkan di United Kingdom, pelantikan Raja adalah disaksikan oleh Parlimen.
"Itu bezanya sangat besar. Betapa bijaksananya Raja-Raja kita sekarang ini menuntut supaya pelantikan Yang di-Pertuan Agong itu dikekalkan atas perkenan Majlis Raja-Raja,” jelasnya.
Kata Shamrahayu, ia menunjukkan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sepatutnya terjamin dalam sistem yang diamalkan di negara ini.
“Jadi di sini saya nampak sememangnya sedang dicipta satu tradisi baharu untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja.
"Saya harus berterus-terang pindaan tentang cop mohor Yang di-Pertuan Agong yang wajib pada awalnya untuk memperkenankan suatu undang-undang sebelum ia dijadikan undang-undang.
"Yang keduanya, tarikh untuk melaksanakan undang-undang itu wajib mendapat perkenan Raja-Raja iaitu Yang di-Pertuan Agong.
“Tapi itu telah dipinda, itu sudah tiada, kecuali dalam beberapa perkara yang dipegang oleh Raja di bawah Perkara 159 Fasa 5 dan juga 38 dalam Fasa 4,” katanya lagi.