Sistem perlu ditambah baik, beri peluang doktor kontrak maju dalam kerjaya - SCHOMOS

Astro Awani
Jun 29, 2021 06:57 MYT
Sistem kontrak doktor ketika ini perlu ditambah baik agar Malaysia tidak mengalami ketandusan bakat, terutamanya dalam usaha mewujudkan pelapis baharu pakar perubatan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sistem kontrak doktor ketika ini perlu ditambah baik agar Malaysia tidak mengalami ketandusan bakat, terutamanya dalam usaha mewujudkan pelapis baharu pakar perubatan.
Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Vijay Ganasan berkata penting untuk memastikan doktor-doktor muda dalam negara boleh memajukan diri dalam laluan kerjaya masing-masing.
"Ketika ini apabila pegawai perubatan masuk ke dalam sistem perkhidmatan awam, dia tidak mungkin dapat peluang memajukan diri dalam kerjaya dan ini seterusnya akan mengakibatkan kekurangan doktor pakar.
"Jika ini berlaku, bagaimana kita dapat mengubati orang ramai?
"Ketika ini pun, kita sudah kekurangan doktor dengan nisbah doktor kepada populasi sebanyak 1:454.
"Ini tidak boleh diterima dan akibatnya dapat kita lihat sendiri ketika pandemik ini," kata Dr Vijay.
Oleh itu, apa yang ingin dicadangkan pihak beliau adalah perkara yang munasabah tetapi pada masa yang sama golongan doktor dapat merasakan mereka mempunyai jaminan pekerjaan dan peluang untuk memajukan diri dalam kerjaya.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual Consider This pada Selasa.
#Doktor #sistem kesihatan #SCHOMOS #MMA #Persatuan Perubatan Malaysia #Dr Vijay Ganasan #Malaysian Medical Association #pandemik
;