Sistem perdagangan tukar barang: Azis sangkal dakwaan Pemuda UMNO
Bernama
Oktober 11, 2018 07:49 MYT
Oktober 11, 2018 07:49 MYT
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyangkal dakwaan Ketua Pemuda UMNO Sabah kononnya pengenalan semula sistem perdagangan tukar barang antara Sabah dan negara jiran akan membawa risiko keselamatan termasuk kemungkinan insiden penculikan berulang di perairan negeri itu.
Katanya, Pemuda UMNO Sabah menyuarakan cadangan agar pengawasan dan keselamatan dipertingkatkan khususnya di perairan Pantai Timur Sabah bagi memastikan perairan negara selamat bagi pedagang-pedagang nanti.
"Sekiranya Pemuda UMNO memberi alasan mahu menyelamatkan sektor pelancongan semata-mata sehingga mengabaikan rakyat Sabah yang lain, ia jelas memperlihatkan sikap tidak matang mereka yang melihat sebelah mata.
"Bukankah kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan lebih menjadi keutamaan dan bukannya untuk segelintir pihak tertentu untuk mengaut keuntungan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Azis, beliau berpendirian senada dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa sistem perdagangan tukar barang yang diperkenalkan semula itu akan merancakkan lagi ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Malah, katanya sistem perdagangan itu bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan di samping menawarkan peluang perniagaan kepada rakyat Sabah, selain akan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Pusat.
Menurutnya, walaupun keuntungan yang dijana daripada sistem perdagangan tukar barang itu tidak setinggi sektor pelancongan, namun kepentingannya di peringkat akar umbi rakyat Sabah yang lain tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
"Pemuda UMNO digesa perlu lebih terbuka dengan membantu dalam melicinkan proses pelaksanaan sistem perdagangan itu dan bukannya mengkritik tetapi tidak mencari penyelesaian," katanya.
Mohd Azis berkata aspek keselamatan di kawasan perdagangan tukar barang berkenaan akan tetap menjadi keutamaan dengan semua aspek diambil kira terlebih dahulu.
Katanya, apabila sistem barter ini dijalankan, mekanisma yang akan digunakan pastinya meneliti semua aspek terlebih dahulu.
Sistem perdagangan tukar barang antara Sabah dan negara jiran yang dihentikan atas faktor keselamatan sebelum ini, akan mula beroperasi pada 1 Jan 2019.
-- BERNAMA
#barter trade
#ekonomi
#keselamatan
#Mohd Azis Jamman
#Mohd Shafie Apdal
#pedagang
#pelancongan
#peluang pekerjaan
#Pemuda UMNO
#penculikan
#perairan
#perdagangan
#rakyat
#risiko
#Sabah
#tukar barang