Sistem penyampaian dana Bumiputera masih lemah - Khairul Azwan

Wan Syamsul Amly
November 18, 2015 08:00 MYT
KHAIRUL AZWAN: Isu ini merupakan isu serius khususnya kepada usahawan Bumiputera yang baru hendak bertapak. - Gambar fail
Sistem penyampaian dana khusus untuk Bumiputera terbukti masih lemah apabila masih ada pelbagai rungutan dan aduan daripada orang ramai tentang kesukaran mendapat maklumat serta proses birokrasi yang terlalu remeh.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, isu itu semakin serius selepas pelbagai bentuk geran, dana serta inisiatif mesra rakyat yang diumumkan kerajaan tidak dapat dirasai oleh pihak-pihak yang sepatutnya.
"Golongan sasar ini khususnya usahawan Bumiputera yang baru hendak bertapak. Kita kesal dengan sistem penyampaian dan melihat isu ini merupakan isu serius khususnya kepada usahawan Bumiputera yang baru hendak bertapak," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.
Khairul Azwan turut memberitahu, umum sedia maklum pelbagai jenis dana, tabung dan agensi ditugaskan untuk melihat agenda pembangunan bumiputera merentasi pelbagai kementerian sedia ada hari ini.
"Ia termasuk dana Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pertanian dan Industi Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Belia dan Sukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Azwan turut melihat antara punca utama perkara ini berlaku ialah budaya dan mentaliti pengasingan iaitu terdapat kesukaran dalam memadankan program dan dana kepada kumpulan sasar.
"Kekangan birokrasi dan kekurangan maklumat menyumbang lagi kepada kelemahan pelaksanaan sehingga ada dana yang tidak sampai ke golongan sasar dan ada pula yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya," jelasnya.
Oleh itu katanya, Konvensyen Dana Bumiputera yang akan dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO pada 28 November ini diharap menjadi jalan penyelesaian terhadap masalah yang berulang kali berlaku tahun demi tahun.
"Kita akan menjemput wakil-wakil kementerian serta pemegang taruh yang berkaitan pada konvensyen yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Ia akan mencapai satu resolusi yang akan memberikan penyelesaian jangka masa panjang. Konvensyen ini juga akan menampilkan para usahawan bumiputera yang telah mendapat geran, dana atau bantuan serta usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan bagi bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Konvensyen Dana Bumiputera berkenaan.
#azwan #Bumiputera #dana #konvensyen #UMNO
;