Sistem pentadbiran Perak terus berkembang positif - Zambry

Nazialita Geynna Maharan
November 5, 2016 14:47 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (kiri) mengucapkan tahniah kepada Bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammmed Hanif Omar (dua,kiri) yang menerima Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) dari Sultan Perak. - Foto BERNAMA
Sistem pentadbiran kerajaan negeri Perak terbukti terus berkembang secara progresif dengan pelbagai pengiktirafan yang diberikan khususnya dalam bidang pengendalian kewangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ianya juga mengetepikan suara yang mempersoalkan kedudukan negeri itu dari segi ekonomi.
Menurutnya, Perak diakui sebagai negeri yang menguruskan kewangan secara sistematik dan ini sekaligus menangkis laporan mengatakan bahawa negeri itu berada di pinggiran jurang.
"Hakikatnya, julat dan pertimbangan yang digunakan tidak menggarap bukti yang ada malah terdapat beberapa jaminan mengenai angka yang tercatat dalam mengetengahkan kadar ekonomi negeri ini.
"Sebagai contoh, bagi tempoh 2012 hingga 2015, Perak mencatatkan pertumbuhan 7.7 peratus dan sekaligus mengatasi purata pertumbuhan nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Tahniah dan Taat Setia di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada Sabtu.
Tambahnya, beberapa pencapaian yang digarap boleh digariskan sekaligus meletakkan Perak pada landasan yang betul.
"Antaranya, kerajaan negeri Perak kini tidak lagi berhutang kepada kerajaan Persekutuan dalam urusan pembayaran gaji kakitangan awam.
"Rezab negeri sentiasa berada dalam keadaan baik dan positif malah hutang negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah yang terendah," katanya.
Zambry berkata Perak juga terus memacu pembangunan sosioekonomi dengan kadar miskin tegar di Perak berada pada paras 0.74 peratus.
Malah, beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index ) antara yang terendah di Malaysia pada kadar 0.4 peratus.
Di samping itu, katanya, Perak terus menerajui sektor pelancongan Asia dengan mencatatkan pelancong domestik yang tertinggi di Malaysia bagi tempoh empat tahun berturut-turut dengan 7.96 juta pelancong pada tahun 2015 selain mencul dalam majalah pelancongan terkemuka Lonely Planet yang meletakkan Perak antara 10 rantau dunia yang mesti dilawati pada tahun 2017.
Zambry berkata pihaknya turut melaksanakan beberapa inisiatif besar untuk menyuburkan pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
"Di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia serta rintisan usaha pelbagai pihak, Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) kini telah diangkat menjadi universiti penuh dan dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah.
"Manakala penubuhan Lembaga Perumahan danHartanah Negeri Perak pula menjadi pelantar pentadbiran kerajaan negeri dalam memastikan keperluan perumahan dan pemilikan hartanah, di kalangan rakyat dapat dirancang dan dipenuhi sebaik mungkin," katanya lagi.
#pengendalian kewangan #Perak #progresif #Zambry Abdul Kadir
;