Sistem penjagaan kesihatan Malaysia masih diyakini rakyat - Ipsos

Eton Khir
November 4, 2021 14:42 MYT
Kaji selidik tersebut membabitkan 21, 513 responden dari 30 buah negara, dengan 500 jumlah sampel dari Malaysia - Ipsos
Kepercayaan rakyat Malaysia masih tinggi terhadap sistem penjagaan kesihatan di negara ini meskipun tahap kepercayaan yang lebih rendah berbanding tahun 2020, dengan kadar 68 peratus pada tahun 2021.
Itu yang dibuktikan firma penyelidikan pasaran dan perundingan, Ipsos, menerusi satu kaji selidik yang dijalankan dari Ogos hingga September tahun ini.
Kaji selidik tersebut mendapati dua daripada tiga rakyat Malaysia mempercayai sistem penjagaan kesihatan menyediakan mereka perkhidmatan rawatan terbaik, jauh lebih tinggi daripada purata negara global.
Dalam pada itu, Malaysia juga berada dalam kelompok teratas bersama negara-negara maju lain dari sudut percaya penjagaan kesihatan akan meningkat.
Dengan 31 kadar peratus, rakyat Malaysia yakin dan berpandangan positif terhadap kualiti penjagaan kesihatan di masa hadapan.
Ini jauh berbeza dengan beberapa negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, masing-masing dengan hanya 6 peratus dan 16 peratus.
Di samping itu, rakyat Malaysia melihat akses atau masa menunggu yang lama, kos rawatan dan kekurangan kakitangan sebagai cabaran utama sistem kesihatan.
Lebih lagi, dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia, situasi ini telah menguatkan kebimbangan ini.
Pengurus Kanan, Hal Ehwal Awam Ipsos, Lars Erik Lie, melihat keyakinan tinggi rakyat Malaysia itu disokong oleh sistem kesihatan yang berkesan
"Keberkesanan dan kualiti sistem penjagaan kesihatan negara telah menjadi tumpuan di seluruh dunia sejak awal tahun 2020 ketika mendepani COVID-19.
"Sistem penjagaan kesihatan Malaysia kekal dipercayai, menjulang tinggi melebihi purata negara global, tetapi tidak mencapai tahap tinggi seperti tahun 2020. Situasi sama terhadap tingginya keyakinan rakyat Malaysia bahawa sistem penjagaan kesihatan akan terus bertambah baik dalam masa hadapan.
"Namun pada masa sama, pandemik COVID-19 telah meningkatkan kebimbangan rakyat di negara ini mengenai kebolehaksesan kepada rawatan dan masa menunggu yang lama, kos rawatan, dan kekurangan kakitangan," katanya.
Kaji selidik tersebut membabitkan 21, 513 responden dari 30 buah negara, dengan 500 jumlah sampel dari Malaysia.
#COVID-19 #pandemik #Ipsos #kesihatan
;