Sistem penjagaan kesihatan Malaysia antara yang terbaik, diyakini rakyat - Ipsos

Madiha Abdullah
Disember 11, 2020 10:30 MYT
Tiga daripada empat rakyat Malaysia percaya sistem penjagaan kesihatan di negara ini menawarkan perkhidmatan terbaik. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia lebih percaya pada sistem perubatan dan penjagaan kesihatan di negara ini berbanding dua tahun lalu.
Itu yang dibuktikan firma penyelidikan pasaran dan perundingan, Ipsos, menerusi satu kaji selidik yang dijalankan dari September hingga Oktober lalu.
Kaji selidik tersebut mendapati tiga daripada empat rakyat Malaysia percaya sistem penjagaan kesihatan di negara ini menawarkan perkhidmatan terbaik.
Bukan itu sahaja, 62 peratus rakyat Malaysia juga yakin bahawa sistem penjagaan kesihatan di negara ini memberikan rawatan yang adil dan sama rata terhadap semua individu.
Kaji selidik tersebut membabitkan 20,009 responden dari 22 buah negara, namun tidak menyebut jumlah sampel dari Malaysia.
Dalam pada itu, Malaysia juga berada dalam kelompok teratas dalam senarai sokongan terhadap suntikan vaksin.
Berbanding negara lain, 86 peratus rakyat Malaysia percaya suntikan vaksin satu keperluan untuk menangani jangkitan penyakit berjangkit.
Ini jauh berbeza dengan beberapa negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, masing-masing dengan hanya 52 peratus dan 50 peratus.
Pengurus Kanan, Hal Ehwal Awam Ipsos, Lars Erik Lie, melihat keyakinan tinggi rakyat Malaysia itu disokong oleh sistem kesihatan yang berkesan.
"Rakyat Malaysia memiliki keyakinan yang tinggi dalam sistem penjagaan kesihatan. Ini kerana mereka percaya pada sistem yang adil dan memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi.
"Pandemik COVID-19 merupakan ujian bagi sektor penjagaan kesihatan di seluruh dunia, dan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia jauh lebih baik berbanding banyak negara lain di seluruh dunia," katanya.
#sistem penjagaan kesihatan #COVID-19 #pandemik #Ipsos #Lars Erik Lie
;