Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan perkasa usaha mitigasi, perlindungan alam sekitar
Madiha Abdullah
Oktober 9, 2024 20:08 MYT
Oktober 9, 2024 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Malaysia Forest Fund (MFF) sedang giat membangunkan Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan di bawah program Forest Carbon Offset (FCO).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, instrumen berasaskan pasaran itu akan membolehkan manfaat yang terhasil melalui pelaksanaan program pemuliharaan dan perlindungan hutan dipindahkan kepada pembeli, sama ada syarikat, organisasi atau individu.
"Malaysia Forest Fund (MFF) telah berusaha keras membangunkan Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan di bawah program Forest Carbon Offset (FCO).
"MFF telah memulakan tugasnya dalam merumuskan garis panduan dan peraturan untuk FCO, dan tidak lama lagi akan membangunkan metodologi terpilih termasuk REDD Plus, Pengurusan Hutan yang Diperbaiki (IFM) dan Penanaman Hutan, Penghutanan Semula dan Penanaman Semula (ARR).
"Dengan menyepadukan penyelesaian berasaskan alam semula jadi ke dalam rangka kerja pasaran karbon kami, kami berhasrat untuk mengukuhkan sumbangan kami kepada kedua-dua perlindungan alam sekitar dan pengurangan iklim, sambil mencipta nilai ekonomi yang mampan," katanya.
Jelasnya, kredit karbon yang dijana daripada aktiviti ofset karbon itu boleh diniagakan dalam platform pasaran karbon untuk membantu syarikat-syarikat yang berusaha mengurangkan jejak karbon dalam operasi mereka.
Tambahnya lagi, pengkreditan karbon adalah pelengkap kepada instrumen penetapan harga karbon (CPI), di mana CPI merupakan pendekatan dasar bagi mewujudkan insentif dalam bentuk ekonomi bagi mendorong perubahan yang diperlukan.
Instrumen CPI ini telah diguna pakai di kebanyakan negara-negara maju dan semakin diterima dalam kalangan negara-negara membangun termasuk ASEAN.
Dalam pada itu, Nik Nazmi menggesa kerjasama yang lebih erat antara negara anggota ASEAN untuk menangani isu perubahan iklim, terutama dengan kedudukannya yang semakin terdedah dengan perubahan cuaca ekstrem.
Tegas Nik Nazmi, Malaysia yang bakal mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, komited untuk memupuk kerjasama yang lebih erat di seluruh rantau ini bukan sahaja dalam memacu agenda tindakan iklim, tetapi juga dalam menyokong usaha kemampanan yang sejajar dengan hasrat sifar bersih global.
"Perubahan iklim memberi kesan yang sangat ketara kepada negara anggota ASEAN dan akan berterusan, dengan 87 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir, dan lima negara di ASEAN dikenal pasti sebagai yang paling terjejas akibat kejadian cuaca ekstrem dalam dekad yang lalu dan seterusnya.
"Oleh itu, kerentanan iklim adalah realiti yang perlu diatasi oleh negara-negara ASEAN bukan sahaja di peringkat nasional tetapi secara kolektif sebagai serantau," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ASEAN Carbon Forum 2024: Development of Crediting Programme and Carbon Project (ACF2024), pada Rabu.
Penganjuran ACF2024 bertujuan memudah cara dan menggalakkan wacana dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN berhubung usaha-usaha ke arah pembangunan sistem pengkreditan karbon serta ekosistem pasaran karbon yang kondusif di peringkat serantau.