Sistem pengambilan amah perlu diperkemas

Astro Awani
Disember 17, 2012 20:55 MYT
Sistem pengambilan amah yang sedia ada perlu diperkemas dan ditambah baik.
Itu pandangan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) yang menganggap polisi tersebut terlalu membebankan majikan selain memberi keuntungan besar kepada agen pembekal amah.
Presiden persatuan itu, Engku Ahmad Fauzi Engku Mohsein berkata polisi pengambilan amah sepatutnya lebih mudah dan lancar demi manfaat majikan.
"Kita bagi ruang kepada ejen... sebenarnya kalau ini antara kerajaan dengan kerajaan saya fikir biarlah kerajaan dengan kerajaan buat polisi untuk perjalanan amah kita ni.
“Dan ejen tidak patut terlibat tentang penguatkuasaan dan itu yang ejen mengambil kesempatan,” kata beliau ketika dihubungi Astro Awani.
Pada Ahad, pergerakan wanita Barisan Nasional meminta kerajaan mengkaji semula polisi dan sistem pengambilan pembantu rumah asing bagi mengurangkan bebanan ke atas majikan.
Menurut mereka, proses yang sedia ada perlu diteliti semula kerana ia menyulitkan majikan terutamanya wanita.
#amah #Engku Ahmad Fauzi Engku Mohsein #MAMA #pembantu rumah #Persatuan Majikan Amah Malaysia
;