Sistem pendidikan tidak diskriminasi mana-mana bahasa ibunda - Maszlee
Rahimah Abdullah
Mac 21, 2019 14:09 MYT
Mac 21, 2019 14:09 MYT
Kementerian Pendidikan tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasi mana-mana bahasa ibunda dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Demikian ditegaskan Menteri Dr Maszlee Malik yang menyatakan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 digubal dengan melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang memenuhi keperluan negara pada masa depan.
Ia, katanya, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Berkenaan aspek bahasa, keperluan untuk menguasai bahasa Melayu adalah penting untuk memupuk perpaduan juga identiti warga Malaysia, manakala penggunaan bahasa Inggeris adalah untuk membentuk individu dan warga yang bersedia bersaing di peringkat antarabangsa.
"Manakala, mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil masih dikekalkan sebagai mata pelajaran teras di Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini.
Choong bertanya sama ada kerajaan PH akan mengkaji semula perenggan-perenggan dalam PPPM) 2013-2025 yang melaksanakan dasar diskriminasi pendidikan bahasa ibunda.
Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan telah menyediakan sukatan atau standard kurikulum bagi mata pelajaran bahasa ibunda.
"Bahan sokongan juga disediakan dan diedarkan di sekolah berkenaan untuk diguna pakai dalam pelaksanaan kurikulum bahasa-bahasa tersebut," tambahnya.
Justeru, katanya, pelaksanaan bahasa ibunda adalah selari dengan saranan PPPM 2013-2025 agar murid yang menamatkan persekolahan dapat menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa, membolehkan mereka berkomunikasi secara berkesan dan mampu bersaing di peringkat global.
#bahasa
#bahasa ibunda
#Cina
#dasar
#Dewan Rakyat
#diskriminasi
#Kementerian Pendidikan
#Maszlee Malik
#Melayu
#Parlimen
#Pelan Pembangunan Pendidikan
#pendidikan
#PPPM 2013-2025
#sekolah
#sistem pendidikan