Sistem pendidikan satu aliran tingkat persefahaman masyarakat - Exco Pemuda UMNO
Firdaus Azil
Mac 14, 2024 13:28 MYT
Mac 14, 2024 13:28 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan sistem pendidikan satu aliran dapat mengurangkan perasaan perbezaan dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan pelbagai kelompok masyarakat, kata Exco Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.
Menurutnya, penyatuan sistem pendidikan negara penting bagi membantu merapatkan jurang perbezaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh tentang isu pendidikan perlu dilihat dari aspek mengukuhkan integrasi sosial dalam kalangan pelajar.
"Pernyataan daripada Dr Muhamad Akmal juga penting dalam konteks pembinaan masyarakat yang harmoni dan bertamadun.
"Dengan menekankan pendidikan satu aliran, kita dapat mengurangkan potensi perpecahan dalam masyarakat khususnya dalam konteks perbezaan budaya, agama dan kepercayaan.
“Melalui pendidikan yang mengutamakan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan dan kesaksamaan, kita dapat membentuk generasi muda yang lebih terbuka dan menerima perbezaan sebagai kekayaan yang mengukuhkan kekuatan kolektif,” kata Fariz Hazurin dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi komitmen bahawa pihaknya mendengar cadangan Dr Muhamad Akmal, yang menggesa kajian semula ke atas sistem pendidikan sekolah vernakular di negara ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, KPM kekal mengiktiraf sekolah vernakular dalam kerangka pendidikan kebangsaan, sekali gus memperkasa Akta Pendidikan 1996.
Cadangan Dr Muhamad Akmal hadir selepas Mahkamah Persekutuan pada Februari menolak permohonan kebenaran merayu dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Ini bermakna, penghakiman Mahkamah Rayuan pada 23 Nov tahun lepas, bahawa penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular, adalah kekal.
Dalam pada itu, Fariz Hazurin berkata, dengan mengekalkan satu aliran pendidikan, setiap individu akan diberi peluang yang sama untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan mereka.
“Ini penting untuk memupuk negara yang inklusif dan progresif, di mana setiap rakyat merasa dihargai dan diiktiraf atas sumbangan dan potensi individu mereka.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita menyokong Dr Muhamad Akmal dalam usahanya membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan negara,” tambahnya.