Sistem pendidikan negara diperkasa menerusi PPPM 2013-2025
Bernama
September 6, 2013 12:09 MYT
September 6, 2013 12:09 MYT
Sistem pendidikan negara dapat diperkasa dan dibangunkan secara berterusan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dirangka berasaskan tiga objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing pada peringkat global.
Menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, tiga objektif itu ialah:
* Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses kepada pendidikan, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.
* Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga 2025.
* Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi awam.
"Pendekatan yang diambil dalam menghasilkan pelan ini adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpulkan untuk menilai dan mentaksir prestasi sistem pendidikan Malaysia termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Unesco dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)," menurut pelan pembangunan pendidikan itu.
PPPM juga merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem pendidikan dan terdapat tiga fasa iaitu:
* Fasa Satu - melibatkan kajian semula dan diagnostik menyeluruh tentang sistem pendidikan. Fasa ini bermula dengan penilaian terperinci prestasi sistem pendidikan Malaysia, memberi tumpuan kepada keberhasilan murid, mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini di samping mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk diikuti dan dicontohi.
* Fasa Dua - memberikan tumpuan kepada penyediaan Laporan Awal PPPM dengan menggunakan dapatan dalam Fasa Satu untuk mengenal pasti bidang keutamaan dan memperinci program transformasi yang tuntas tentang dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh pelan 13 tahun itu. Fasa ini merangkumi maklum balas yang dijana daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara dan Makmal Pendidikan GTP 2.0.
* Fasa Tiga ditumpukan kepada penyediaan laporan akhir PPPM. Fasa ini melibatkan rundingan dan penglibatan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas tentang Laporan Awal PPPM. Maklum balas berkenaan telah dipertimbangkan dalam penyediaan laporan akhir.
PPPM 2013-2025 itu juga mengkaji pengalaman sistem pendidikan negara lain yang menunjukkan peningkatan signifikan, meluas dan berupaya mengekalkan peningkatan dalam keberhasilan murid.
Ia bertujuan menyediakan metodologi yang mantap untuk memahami dan membandingkan standard dan prestasi sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain.
"Sebagai sebahagian daripada proses, kementerian telah mengkaji data antarabangsa, menganalisis dan menanda aras pendekatan daripada sumber antarabangsa yang terkemuka seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS)," menurut laporan pelan itu.
Menurut PPPM 2013-2025 itu, kejayaan masa depan negara bergantung kepada perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi yang mampan iaitu kedua-dua faktor ini bergantung kepada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan cepat dan berkesan.
"Maka tidak menghairankan sekiranya sesebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi mampu menjana ekonomi dengan pesat demi kemakmuran negara," menurut PPPM itu.