Sistem pendidikan negara cacamarba, perlu dikaji semula - TPM Zahid
Harits Asyraf Hasnan
April 14, 2017 14:07 MYT
April 14, 2017 14:07 MYT
Sistem pendidikan negara dilihat bercampur aduk sekali gus tidak mementingkan perpaduan nasional sebagai tonggak utama, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri turut mengakui sistem pendidikan juga gagal membentuk perpaduan lantaran tiada titik pertemuan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, agak sukar untuk mengawal sistem pendidikan di peringkat prasekolah, namun beliau mahu hanya satu aliran sahaja perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan di negara ini.
"Tetapi tolonglah, apabila ada di peringkat menengah, gunakan aliran yang sama. Mana ada negara dalam dunia ini yang sistem pendidikannya ada tiga jenis. Tidak ada, Malaysia sahaja.
"Baik betul pemimpin-pemimpin Malaysia ini. Akhirnya tidak ada titik pertemuan, no equilibrium point," katanya pada Syarahan “Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.
Mengambil contoh sistem pendidikan di peringkat menengah, Ahmad Zahid berkata tidak akan wujud komunikasi silang budaya apabila wujud aliran yang memisahkan pelajar.
"Orang (penuntut) yang (belajar) di maahad tahfiz pernah jumpa dengan pelajar-pelajar sekolah Cina? Tidak pernah jumpa.
"Bila masa ada cross cultural communication (komunikasi silang budaya) pertemuannya? Masuklah orang ini (mereka) ke universiti di luar negara ataupun di dalam negara. Apabila tidak ada titik pertemuan, maka tidak wujud perpaduan negara," katanya.
Justeru, beliau mahu sistem pendidikan negara dikaji semula agar meletakkan perpaduan negara sebagai tonggak utama pelaksanaannya.
"Oleh itu, sistem pendidikan harus dilihat semula. Kita hormati semua bahasa ibunda tetapi kita mesti ada persamaan untuk mewujudkan perpaduan negara itu. Kekalkan ilmu-ilmu yang ada dalam bahasa masing-masing itu sebagai satu subjek tapi bukan sebagai pengantar utama yang akan menyebabkan permasalahan.
"Itu nilai-nilai yang harus ada. Akan jadi satu cacamarba apabila sistem pendidikan itu tidak mengambil perkiraan terhadap perpaduan nasional sebagai tonggak utama.
"Maka cacamarba itu menimbulkan kerojakan dalam masyarakat yang akan memberikan keberhasilan masyarakat yang bobrok iaitu masyarakat yang ada nilai-nilai kerosakan," ujarnya.
#Ahmad Zahid Hamidi
#bahasa ibunda
#Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
#perpaduan nasional
#sistem pendidikan negara