Sistem pendidikan mesti seiring dengan IR 4.0 - Rafidah
Bernama
Oktober 26, 2019 08:35 MYT
Oktober 26, 2019 08:35 MYT
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata sistem pendidikan di negara ini mestilah seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), ketika Malaysia sedang menuju ke arah era itu.
Beliau berkata negara tidak boleh memiliki sistem pendidikan yang terlalu 'mundur'.
"Apabila kita bercakap mengenai IR4.0, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan yang masih di era 2.0, jadi jika ia 4.0, maka (pendidikan) harus seiring dengan 4.0. Ini yang menjadi keprihatinan kita sekarang.
"Saya tidak bimbang mengenai anak-anak saya, saya lebih bimbang terhadap cucu-cucu saya, tetapi masalahnya adalah kebimbangan ini seharusnya menjadi kebimbangan nasional dan bukan hanya kebimbangan di kalangan ibu bapa," katanya semasa berbicara pada siri perbincangan Help University mengenai isu-isu nasional - masa depan Malaysia - program di sini, pada Jumaat.
Rafidah berkata bahawa IR4.0 adalah penerapan teknologi maklumat dan komunikasi kepada industri apabila internet of things (IoT) menjadi pemacu utama.
Dalam pada itu, Rafidah menyeru agar rakyat Malaysia memberi tumpuan lebih kepada martabat negara berdasarkan kecekapan anak-anak tanpa mengira bangsa kerana setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang sama untuk mengurangkan keperluan IR 4.0.
"Apabila mereka memasuki sektor swasta misalnya, atau apabila mereka berada dalam perkhidmatan awam, jika perkhidmatan awam tidak dapat memenuhi permintaan 4.0, bagaimana kita hendak bercakap dengan mereka menggunakan komputer ... aplikasi industri 4.0 tetapi perkhidmatan awam masih 2.0, " kata beliau.
Sementara itu, Naib Canselor dan Presiden HELP University, Datuk Profesor Dr Paul Chan berkata HELP University mahu memainkan peranan yang bermakna dan menyumbang idea yang membina untuk membantu kerajaan dan negara.
"Kami mahu mempromosikan perkongsian dan wacana jenis ini kerana ia adalah platform yang efektif untuk pelajar universiti dan orang ramai, kerana mereka mewakili kuasa yang akan membentuk negara kita dan mentransformasi ekonomi," katanya.
Siri perbincangan itu adalah sebahagian daripada rancangan Help University untuk mewujudkan satu platform untuk penceramah, pensyarah, pelajar dan juga orang awam untuk berkongsi kebimbangan, idea dan visi mereka untuk Malaysia yang lebih baik.
-- BERNAMA
#bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri
#Rafidah Aziz
#revolusi industri 4 0
#sistem pendidikan