Sistem pendidikan Malaysia perlu dipastikan tidak 'stagnant' - Radzi
Ridauddin Daud
September 24, 2022 16:49 MYT
September 24, 2022 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia terus menampilkan kemajuan, tidak berada di tahap yang sama untuk tempoh yang lama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, kerjasama sebegitu mampu menjana perkongsian idea yang boleh dimanfaatkan untuk sektor tersebut.
Menjadikan Teach For Malaysia (TFM) sebagai contoh, Radzi berkata TFM telah melaksanakan usaha yang baik sepanjang 10 tahun lepas dengan mewujudkan kerjasama dengan 893 sekolah di setiap negeri.
Katanya, kerjasama itu dijalankan dengan merekrut, melatih dan menempatkan ratusan guru di sekolah-sekolah berkenaan dan ia boleh menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
“Itulah sebabnya apabila kita memikirkan tentang pendidikan, kita memerlukan sumbangan idea, kita perlu bekerjasama dengan kumpulan yang berbeza supaya kita tidak tersekat dengan cara lama yang berulang kali kita lakukan.
“Saya selalu mengatakan perkara ini kerana ada orang yang mengatakan bahawa pendidikan kita semakin mundur. Saya tetap mengatakan bahawa kita tidak mundur, tetapi kita tidak bergerak sejak beberapa tahun yang lalu.
“Apa yang kita perlu ada? Kita perlukan idea baharu, kita perlu bekerja dengan ramai orang dari latar belakang yang berbeza termasuk anda (TFM) yang melakukan tugas yang sangat baik selama 10 tahun yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun TFM Ke-10 di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi dan Pengasas TFM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Dalam pada itu, Tunku Ali Redhauddin menzahirkan kegembiraan terhadap kemajuan dicapai organisasi itu yang terus berkembang dari tahun ke tahun sejak ia dilancarkan pada tahun 2012.
“Kepada sahabat-sahabat kami di Kementerian Pendidikan, terima kasih kerana menyokong dan memberi kepercayaan kepada kami untuk memainkan peranan dalam sistem pendidikan awam sejak 10 tahun yang lalu.
“Kami akan terus berusaha untuk kekal sebagai rakan kongsi kementerian yang dipercayai dan menyumbang kepada pembinaan negara dengan memupuk generasi pemimpin Malaysia yang akan datang.
“Sokongan berterusan anda adalah penting bagi kami dan kami sentaisa mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Sejak pelancarannya pada tahun 2012, gerakan Yayasan TFM yang terdiri daripada 1,046 Felo YTFM, peserta dan alumni telah memberi impak kepada 330,285 pelajar di 893 buah sekolah di seluruh negara.