Sistem pendidikan kini terlalu berteraskan peperiksaan - Prof Dr Saedah

Umavathi Ramayah
April 18, 2020 10:57 MYT
Dr Saedah Siraj berkata kerajaan seharusnya memperluaskan konsep pembelajaran itu sendiri.
Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengkaji sistem pendidikan sedia ada yang dilihat terlalu berteraskan kepada peperiksaan.
Sebaliknya, pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Saedah Siraj berkata kerajaan seharusnya memperluaskan konsep pembelajaran itu sendiri dan bukannya menilai prestasi pelajar berdasarkan peperiksaan semata-mata.
"Saya bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk membatalkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana ia tepat pada waktunya di mana penilaian perlu dikaji semula.
"Ini kerana peperiksaan hanya satu bentuk penilaian sahaja dan banyak lagi bentuk-bentuk penilaian yang boleh digunakan misalnya penilaian berterusan yang boleh dilakukan melalui kuiz, ujian dan lain-lain," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Dr Saedah menambah perkara yang perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara adalah proses pembelajaran itu sendiri.
Berbanding Finland, Korea Selatan, Jepun dan Rusia yang tersenarai sebagai antara negara dengan sistem pendidikan terbaik di dunia, penilaian adalah hanya bertujuan menentukan sama ada pembelajaran itu dikuasai oleh murid atau sebaliknya.
Malah katanya, kaedah pembelajaran di negara-negara itu akan memperbaik kaedah pengajaran dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Katanya, kerajaan perlu memikirkan modul terbaik dengan mengambil kira proses pembelajaran bukan untuk menduduki peperiksaan.
#berteraskan peperiksaan #COVID-19 #Fakulti Pembangunan Manusia #Kementerian Pendidikan #Pentaksiran Tingkatan Tiga #PT3 #Saedah Siraj #sistem pendidikan #Universiti Pendidikan Sultan Idris #UPSI #UPSR
;