Sistem pencahayaan CIQ BSI perlu ditambah baik segera - Sultan Johor

Bernama
Disember 18, 2019 04:54 MYT
Sultan Ibrahim turut ingin mengetahui mengenai kekerapan latihan kebakaran, serta aspek rondaan bagi tujuan keselamatan yang diadakan di kompleks berkenaan. -foto Facebook - officialsultanibrahim
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menegur sistem pencahayaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, yang didapati gelap atau kelam dan mahukan ia ditambah baik segera.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar @officialsultanibrahim, baginda bertitah penambahbaikan itu adalah demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Sultan Ibrahim turut bertitah mahu pihak pengurusan CIQ BSI serta pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan, yang bertugas di kompleks terbabit untuk segera mengadakan pertemuan bersama baginda.
"Bukan sahaja mengenai sistem pencahayaan, malah saya mahu bertanyakan pelbagai perkara lain dalam pertemuan itu nanti.
"Jangan pandang mudah sistem pencahayaan, kerana khuatir boleh memberi pelbagai implikasi dari segi keselamatan bukan sahaja kepada pengguna kereta atau motosikal malah pejalan kaki," titah baginda.
Sultan Ibrahim turut ingin mengetahui mengenai kekerapan latihan kebakaran, serta aspek rondaan bagi tujuan keselamatan yang diadakan di kompleks berkenaan.
"Adakah keperluan tandas mencukupi, dari segi rawatan perubatan, bagaimana jika berlaku kecemasan, begitu juga jika berlaku kebakaran kenderaan, adakah kekuatan pasukan penyelamat mencukupi," titah baginda.
Baginda dalam masa yang sama mahu perkara berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh kerana membabitkan kepentingan ribuan rakyat yang setiap hari berulang-alik kerja ke Singapura.
-- BERNAMA
#Facebook #Imigresen #kastam #kebakaran #keselamatan #rakyat #Singapura #Sultan Ibrahim #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Sultan Johor
;