Sistem pemilihan UMNO perlu berkonsepkan bebas dan adil - Musa Hitam

Rahimah Abdullah
Oktober 9, 2013 17:40 MYT
Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam berharap sistem pemilihan parti itu diberi penambahbaikan pada masa hadapan bagi memastikan tidak berlaku ketidakadilan kepada mana-mana calon yang bertanding di semua peringkat jawatan dalam parti.
Beliau berpendapat, kebanyakan calon masih kurang jelas dengan tata etika pemilihan yang tidak selari dengan perkembangan teknologi terutama dengan kewujudan media sosial sekarang.
"Buku etika ini dibuat dulu, zaman dulu memang sudah ada tetapi ia tidak meliputi soal teknologi moden ini yang wujud di kalangan semua orang yang guna pendekatan digital, komputer, email, dan Facebook. Ini yang kita tidak boleh tahan.
"Seolah-olah yang menjadi calon itu tidak tahu apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh. Itu nampak seperti terjemahan dan interpretasinya berbeza antara satu sama lain," ujar beliau kepada Astro AWANI.
Beliau juga berpendapat konsep bebas dan adil perlu diterapkan dalam pemilihan kali ini dan bukan memberi keistimewaan kepada calon yang sudah ada kedudukan tertentu.
"Jadi dalam hal ini, saya fikir banyak lagi soal pertandingan perlu dilihat, apakah kedudukan seorang yang menjadi menteri dan dia setiap hari diberi pendedahan terhadap kerjanya itu dengan publisiti. Apa pula jadi dengan orang biasa?"
"Saya fikir tiada konsep bebas dan adil seratus peratus dalam dunia ini," tegasnya.
Justeru, pimpinan UMNO diingatkan agar mengambil berat mengenai cadangan penambahbaikan ini dan bukan melihat ia sebagai kritikan semata-mata.
"Kalau orang kata saya merepek tidak mengapalah, bagus. Saya nak (UMNO) jadi bebas dan adil. Itu yang kita hendak," tambah beliau.
Beliau mahu semua anggota UMNO membuang tanggapan bahawa parti itu parti Melayu semata-mata dan mengambil pendekatan pemilihan UMNO kali ini bukan untuk orang Melayu sahaja.
"Pada saya kita akan memilih siapa ketua UMNO cawangan, negeri atau nasional. Pemimpin yang dipilih seorang yang akan menjadi penganjur negara Malaysia. Saya harap ia akan berterusan.
"UMNO mesti ingat implikasi pemilihan dan kita harus bangga apa yang diwujudkan dari pucuk pimpinan UMNO. Harap kita ambil kira semua proses ini sebagai bebas dan boleh diterima," katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menggesa enam calon yang bertanding jawatan Naib Presiden UMNO agar mengadakan debat antara satu sama lain bagi menunjukkan bahawa mereka benar-benar layak dipilih memegang jawatan penting itu.
Antara isu yang dicadangkan ialah mengenai isu yang dekat dengan hati masyarakat termasuk isu kedudukan orang Melayu, jenayah dan rasuah.
"Biar orang ramai tentukan tapi yang penting buat enam calon ini harus diadakan debat atau perbahasan. Kita pilih pengerusi yang neutral.
"Soal-soal yang boleh dibahaskan ialah soal pencapaian kedudukan orang Melayu masih tak cukup, soal transformasi Datuk Seri Najib Razak serta rasuah, yang sentiasa dekat dengan pemikiran rakyat (harus diambil kira)," jelasnya.
Pada masa sama, hujah-hujah yang berasas yang lahir dari debat berkenaan mampu memberi gambaran bahawa individu berkenaan layak menjadi pelapis pemimpin masyarakat.
"Saya fikir ada yang terpelajar ini dia hendak tahu fakta dan akta. Cabaran tinggi adalah untuk menunggu yang hendak bertanding. Mereka bukan sahaja ketua buat UMNO tetapi juga ketua negara Malaysia.
"Jadi itu harus diingat," akhiri beliau.
Pemilihan UMNO kali ini akan menyaksikan 146,000 anggota perwakilan, diberi peluang mengundi melalui mekanisme pengiraan 'Electoral College'.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian serta pemilihan Exco sayap pusat diadakan serentak Sabtu ini, dan mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan MT akan diadakan serentak pada 19 Okt.
#adil #Bebas #jawatan #pemilihan #Tun Musa Hitam #UMNO
;