Sistem pembetungan maju, tanpa perparitan terbuka bakal dibawa ke Malaysia
Ridauddin Daud
Jun 25, 2024 06:10 MYT
Jun 25, 2024 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Teknologi Saliran Trenchless Malaysia (MALTT) kini sedang berusaha membawa teknologi sistem saluran dan pembetungan termaju tanpa perparitan terbuka di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, usaha itu semakin menampakkan tanda positif selepas MALTT menjalinkan kerjasama dengan dua syarikat antarabangsa untuk melaksanakan teknologi baharu tersebut.
Menurutnya, kerjasama dengan 5Elem Hi-Tech Corporation Technology Co Ltd dari China yang memiliki NordiTube Technologies SE dari Belgium itu dimeterai ketika lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia baru-baru ini.
Ia turut disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) Tengku Zafrul Aziz.
“Teknologi itu direka untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemulihan saluran paip.
“Ini bagi memastikan perkhidmatan air dan pembetungan mampan dan boleh dipercayai pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, ia akan dilakukan menerusi pemindahan teknologi antara kedua-dua entiti berkenaan.
Sementara itu, Presiden 5ELEM, Yuehua Sua berkata pihaknya teruja bekerjasama dengan MALTT untuk menambah baik kemudahan pembetungan di Malaysia.
“Teknologi kami telah membantu beberapa projek antarabangsa dan kami yakin boleh beri manfaat kepada Malaysia,” katanya.