Sistem pembelian tiket dalam talian atasi kesesakan pengunjung Zoo Johor - Exco

Bernama
September 17, 2024 12:34 MYT
Setakat ini pembelian tiket di Zoo Johor adalah hanya melalui kios dan kaunter yang disediakan. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedang membangunkan sistem pembelian tiket dalam talian sebagai usaha untuk mengatasi kesesakan pengunjung di Zoo Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata sistem berkenaan dijangka dapat dilaksanakan menerusi laman web Zoo Johor pada Oktober ini.
"Sistem ini dapat mengurangkan lebih 50 peratus pengunjung yang perlu beratur membeli tiket secara manual.
"Perbincangan teknikal sedang berlaku untuk melaksanakan sistem tersebut dengan kerjasama bahagian teknologi dan maklumat (ICT) Johor, Johor Pay, pihak bank dan kontraktor yang dilantik kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata setakat ini pembelian tiket di Zoo Johor adalah hanya melalui kios dan kaunter yang disediakan.
Mohd Jafni berkata sebanyak 26,584 pengunjung dicatatkan sempena cuti Hari Malaysia semalam iaitu tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang 62 tahun zoo berkenaan dibuka.
Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan 404 tempat letak kenderaan di kawasan Penjara Ayer Molek untuk pengunjung serta perkhidmatan bas perantara secara percuma.
Menurutnya, kerajaan negeri memberi potongan 50 peratus untuk tiket dewasa manakala kemasukan percuma bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sempena pembukaan zoo pada 31 Ogos hingga 30 Sept ini.
Zoo Johor yang terletak di Jalan Gertak Merah di sini mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 4.73 hektar sebelum ditutup lebih tiga tahun kepada pengunjung akibat pandemik COVID-19 disusuli kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur.
-- BERNAMA
#Zoo Johor #sistem dalam talian #pembelian tiket #Mohd Jafni Md Shukor
;